suria

Cucu Dan Nenek Rentung Dalam Kebakaran

KOTA KINABALU: Seorang nenek dan cucunya rentung selepas rumah yang mereka diami di Kampung Contoh, Petagas, musnah dalam kebakaran malam Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Mohammad Akramin Sakirun ketika dihubungi berkata nenek yang meninggal dunia berkenaan dikenali sebagai Tiah Awang,86, dan cucu perempuannya, Nurul Farhana Zulkifli,15.

Katanya mayat kedua-dua mangsa itu dijumpai di dalam salah satu daripada empat buah rumah yang terbakar dalam insiden itu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kerjadian itu kira-kira jam 8.29 malam dan anggota dari Balai Bomba Penampang dan Balai Bomba Kota Kinabalu tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian.

Api dapat dikawal pada jam 9.03 malam sekali gus menyelamatkan lebih 100 buah rumah lagi yang terdapat di kampung berkenaan daripada musnah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Seri Yahya Hussin meluangkan masa melawat keluarga mangsa serta menyerahkan sumbangan peribadi serta sumbangan daripada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Putatan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain