suria

14 Suspek IS Ditahan Dalam Operasi Polis

Seorang daripada 14 suspek militan IS yang ditahan polis.

KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 individu disyaki suspek militan Negara Islam (IS) - 13 lelaki dan seorang wanita dalam operasi khas di enam negeri.

Semua 14 suspek ditahan di Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Perlis antara 17 Mei dan 20 Mei.

Mereka berumur antara 22 dan 49 tahun.

Cawangan Khas Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman melancarkan operasi berkenaan susulan kepada penahanan 15 suspek oleh pihak polis pada Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, tujuh daripada suspek bekerja di sebuah syarikat swasta, dua mempunyai perniagaan sendiri dan yang selebihnya merupakan seorang mekanik, juruteknik pesawat, pekerja pusat karaoke, pembantu makmal dan buruh.

"Lapan daripada suspek bertanggungjawab menyalurkan dana kepada IS di Syria dan Abu Sayyaf di selatan Filipina. Mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Perlis dan Johor," kata Noor Rashid.

Beliau berkata lapan suspek berkenaan mempunyai hubungan dengan pejuang IS rakyat Malaysia di Syria, Muhammad Wandy Mohamed Jedi.

Noor Rashid berkata menerusi kenyataan pada Sabtu bahawa salah seorang daripada lapan suspek adalah saudara kepada Muhammad Wandy.

Tambah beliau akaunnya telah digunakan untuk menghantar dana kepada IS.

"Beliau secara aktif merekrut militan baru di Malaysia dan mengugut untuk membunuh Perdana Menteri dan pegawai tertinggi Bukit Aman," kata Noor Rashid.

Beliau berkata, dua daripada 14 suspek ditahan kerana mempromosikan propaganda IS melalui Facebook manakala seorang lagi telah menjadi tuan rumah mesyuarat berkaitan IS di rumahnya.

"Tiga lagi suspek telah merancang untuk pergi ke Syria pada bulan Julai dan Ogos tahun lepas," katanya.

Militan, IS, Negara Islam, Bukit Aman

Artikel Lain