suria

Kerajaan Harap Indonesia Teliti Semula Isu Pembantu Rumah

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Malaysia berharap pihak Indonesia  meneliti semula keputusan berkaitan penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu harus dibincang lebih mendalam oleh kedua-dua kerajaan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkembangan itu serta menjemput Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Hanif Dhakiri ke Malaysia untuk rundingan lebih lanjut.

Beliau mengulas laporan bahawa Indonesia akan berhenti menghantar rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara asing termasuk Malaysia, mulai tahun depan.

"Saya tak fikir kerajaan Indonesia berniat untuk menyukarkan situasi di Malaysia. Pada hemat saya, masih banyak ruang bagi kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk berunding bagi menyelesaikan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Rapat Alumni Nusantara dan Jaringan Alumni Nusantara di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, Khamis.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi Pekerja Asing, berkata kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa piawaian yang ditetapkan  Indonesia berhubung penggajian pembantu rumah di Malaysia, termasuk memberi keutamaan kepada kebajikan mereka.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan majikan supaya mengambil peluang untuk mendapatkan dokumen sah bagi pekerja asing tanpa izin mereka sebelum tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pekerja Asing Tanpa Izin tamat 30 Jun ini.

"Saya harap majikan tidak akan menuding jari menyalahkan kerajaan jika selepas 30 Jun ini pekerja asing mereka ditahan," katanya.

Beliau menggesa majikan supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dan sebaliknya melakukan usaha jangka sederhana dan panjang  untuk menarik warga tempatan khasnya untuk kerja kategori 3D, kotor, sukar dan berbahaya, selain meningkatkan penggunaan automasi.

Pada majlis pelancaran itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Indonesia sebagai satu rumpun besar yang mempunyai banyak persamaan dari aspek budaya dan bahasa, perlu berusaha mencari persamaan untuk memperkukuhkan hubungan mereka.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Rapat Alumni Nusantara bagi pembangunan penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia.

Disertai cendekiawan, budayawan, pemimpin kolej dan universiti, pemimpin pelajar, profesor dan pensyarah dari Malaysia serta Indonesia, program itu  bertujuan memberi dimensi baharu dalam hubungan masyarakat antara kedua-dua negara.

Turut hadir Presiden UIAM dan Pengerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Artikel Lain