Dua Warga Sepanyol Lega, Berterima Kasih Selepas Diselamatkan - Semasa | mStar

Dua Warga Sepanyol Lega, Berterima Kasih Selepas Diselamatkan

Gasulla menerima rawatan selepas dia dan tiga yang lain diselamatkan oleh nelayan dan APMM, Khamis.
PETALING JAYA: Dua warga Sepanyol yang ditemui oleh nelayan Vietnam selepas mereka hilang di luar pantai Sabah pada 2 Mei lalu berada dalam 'kesihatan yang baik, sangat lega, gembira dan bersyukur'.

David Hernandez Gasulla, 29, dan teman wanitanya Martha Miguel, 30, kedua-duanya dari Sepanyol, akan bertemu semula pada Jumaat dengan ahli-ahli keluarga mereka yang menunggu di Kota Kinabalu.

"Kami mendapat maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bahawa mereka telah ditemui oleh kapal nelayan Vietnam dan wanita itu (Miguel) telah menghubungi keluarganya melalui telefon satelit di atas kapal," kata Duta Sepanyol ke Malaysia Carlos Dominguez Diaz ketika dihubungi, Khamis.

"Kerajaan Sepanyol berterima kasih kepada Panglima Tentera Laut (Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin), Wisma Putra dan APMM terhadap semua tugas yang dijalankan dalam usaha mencari dan menyelamatkan empat orang mangsa, termasuk dua warga Sepanyol.

"Menteri Luar kami juga telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dan menyatakan penghargaan.

"Kami juga amat berterima kasih kepada nelayan yang bertemu dan menyelamatkan mereka," kata Diaz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Jamal Ugut Saya" - Ali Tinju

Artikel Berkaitan

Artikel Lain