suria

Hukuman Rotan Dibenarkan Ikut Garis Panduan

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Guru besar hanya dibenarkan merotan murid-murid tertakluk kepada syarat tertentu untuk kesalahan serius, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Perkara ini dinyatakan dalam pekeliling 2003 dan mereka yang mahu mendapatkan penjelasan secara terperinci mengenainya boleh merujuk kepada pekeliling tersebut.

"Ibu bapa boleh merujuk kepada garis panduan tersebut untuk melihat jika guru besar sekolah telah mematuhi peraturan ditetapkan," katanya kepada The Star.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa guru besar diberi kuasa sepenuhnya untuk merotan pelajar pada 2017.

Dr Khair menjelaskan bahawa hukuman rotan sentiasa dibenarkan kerana berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Dalam pekeliling 2003, beliau berkata hanya dinyatakan jenis hukuman yang boleh dikenakan mengikut keseriusan sesuatu kesalahan.

"Ia bertujuan untuk melindungi kedua-dua pihak," katanya sambil menambah setiap guru besar perlu merujuk garis panduan apabila membabitkan soal pelaksanaan hukuman rotan.

Pekeliling 2003 turut melarang hukuman dera kepada murid-murid perempuan.

Manakala hukuman dera kepada murid-murid lelaki yang dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian hanya dihadkan kepada guru besar atau mana-mana kakitangan lain.

Pekeliling itu turut mengkategorikan kesalahan sebagai berat, sederhana dan ringan.

Bagi kesalahan berat atau serius, pesalah akan dirotan sehingga tiga kali di bahagian punggung.

Kesalahan itu termasuk mengancam guru atau murid-murid lain, mengambil atau mengedar dadah, buli, pengintipan dan mengedar bahan pornografi.

Mereka yang melakukan kesalahan sederhana boleh dirotan sehingga tiga kali di tapak tangan.

Kesalahan ini terdiri daripada penyalagunaan kemudahan sekolah, menipu dalam peperiksaan atau meninggalkan sekolah tanpa kebenaran.

Surat amaran akan dikeluarkan atas salah laku seperti bermain di dalam kelas, menyimpan janggut, tidak membawa buku tertentu ke sekolah atau gagal hadir ke sekolah.

Murid-murid juga akan diberi kaunseling.

Senarai penuh jenis kesalahan dan penalti boleh dirujuk di laman web www.moe.gov.my.

 
guru besar, rotan

Artikel Lain