suria

Paras Sungai Meningkat, Amaran Banjir Kilat

Seorang pekerja menggunakan traktor untuk membersih dan melebarkan sungai di Rawang bagi mengelak berlakunya banjir semasa musim hujan. FAIHAN GHANI/The Star.

PETALING JAYA: Keadaan cuaca kini berubah daripada terlalu panas kepada basah.

Beberapa sungai utama yang melalui kawasan bandar seperti Shah Alam, Subang dan Sungai Buloh hampir melimpah.

Berikutan hujan lebat sejak minggu lalu, paras air di sungai-sungai ini telah naik hingga mencetuskan kebimbangan banjir.

Hujan lebat pada petang Selasa menyebabkan bacaan di Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang meningkat kepada 17.72 meter (m) pada pukul 5 petang, melebihi paras bahaya 17.4m.

Ia menurun kepada 16m pada pukul 8 malam.

Berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran pada Khamis lalu, paras sungai itu hanya pada 14.69m.

Sementara itu paras air di Sungai Kelang di Tugu Keris, Selangor, telah mencapai 3.63m, hanya di bawah paras bahaya 3.9.

Pada pukul 4 petang paras air hanya 2.25m sebelum meningkat kerana hujan lebat. Pada hari Sabtu, paras air sungai adalah 2.44m.

Sungai Buloh di Sri Aman diukur pada ketinggian 6.97m, melebihi paras amaran 6.8M. Paras bahaya adalah 7.5m.

Di Johor, Sungai Lenik di Segamat meningkat kepada 5.6M pada pukul 5 petang semalam, di atas paras amaran pada 5m. Paras bahaya adalah 6m, demikian menurut laman web yang sama.

Di Shah Alam, banjir kilat dilaporkan berlaku iaitu di sepanjang Persiaran Kayangan dan berdekatan Hotel Concorde dan Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Polis Shah Alam juga mengesahkan bahawa Persiaran Damai turut dilanda banjir yang bermula pada pukul 5.20 petang dan surut pada 6 petang.

Sabtu lalu, angin kencang dan ribut petir melanda Lembah Klang menyebabkan banjir kilat dan pokok tumbang hingga membawa kepada kesesakan lalu lintas.

Putrajaya tidak terkecuali kerana dua kenderaan terperangkap dalam banjir di Presint 3 dan 4.

Laman web Jabatan Meteorologi memberitahu bahawa ribut petir dijangka berlaku petang ini di hampir semua dari Kedah ke Sarawak.

Banjir Kilat, Banjir

Artikel Lain