suria

Najib Bersyukur BN Diberi Mandat Terus Teraju Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat tangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang memperolehi mandat baharu daripada rakyat Bumi Kenyalang bagi menerajui Kerajaan Negeri selepas kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu malam menzahirkan rasa syukur dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11. 

Najib yang juga Pengerusi BN turut mengucapkan terima kasih kepada para pengundi atas kepercayaan mereka terhadap parti itu. 

"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Adenan Satem, yang telah mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional dengan begitu cemerlang.

"Kepada calon-calon Barisan Nasional yang telah dipilih oleh rakyat, tahniah saya ucapkan, dan janganlah lupa terhadap janji yang telah diberi, berkhidmatlah untuk rakyat," kata Najib dalam catatan terbaru dalam blog ww.najibrazak.com.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata kejayaan cemerlang BN pada PRN Sarawak diiringi perasaan amat sedih berikutan nahas helikopter yang menggemparkan negara pada Khamis.

Menurut Najib, semua enam penumpang helikopter itu merupakan sebahagian daripada mereka yang gigih melaksanakan tugasan dan tanggungjawab masing-masing.

"Komitmen, kerja keras dan pengorbanan mereka akan terus dikenang," katanya.

Setakat ini, pasukan mencari telah menemui lima mayat dan tiga daripadanya telah dikenal pasti sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, Ketua Setiausaha kementerian sama Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun. 

Tiga lagi mangsa nahas berkenaan ialah suami Noriah Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan juruterbang helikopter AS350 terbabit iaitu Kaptern Rudolf Rex Ragas. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berjanji tidak akan mensia-siakan mandat yang diperoleh BN pada PRN Sarawak. 

"Sebagai Apai Besar Malaysia, saya berjanji, bersama-sama Apai Besar Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan juga wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang lain, kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang telah anda semua berikan. 

"Bersama, kami akan pastikan Sarawak terus makmur, membangun dan maju seiring dengan kemajuan negara," katanya. - Bernama

Artikel Lain