suria

Wanita OKU Maut Dilanggar Bas Ketika Melintas Jalan

JOHOR BAHARU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut selepas dilanggar sebuah bas henti-henti ketika sedang melintas jalan dalam kejadian di KM45 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang, malam tadi (Sabtu malam).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang DSP Ahmad Zamry Marinsah berkata kejadian berlaku 9.35 malam, menyebabkan Leong Siau Foon, 29, yang mengalami masalah pembelajaran dan kerencatan akal, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam dekat Batu Pahat menuju ke bandar Kluang. Leong yang berjalan kaki, dilanggar di bahagian hadapan bas menyebabkannya cedera parah di kepala dan mengalami patah kaki," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Leong berasal dari Sri Lalang, dekat Kluang dan mayatnya dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu bas terbabit, seorang lelaki berumur 60 tahun, tidak mengalami kecederaan dan polis kini sedang jalankan siasatan lanjut.

Artikel Lain