suria

DCA Perlu Wujud SOP Baharu Tangani Masalah Helikoper Terhempas

Ab Aziz Kaprawi.

SUBANG: Kementerian Pengangkutan akan mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak kejadian helikopter terhempas berulang pada masa akan datang.

"Satu tindakan awal perlu diambil untuk mengkaji permasalahan yang berlaku melibatkan helikopter terhempas," kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Subang di sini malam Jumaat.

Ab Aziz menyertai sanak saudara, sahabat handai dan orang kenamaan yang menyambut ketibaan jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon yang maut berikutan nahas helikopter di Sarawak pada Khamis.

Beliau berkata kementeriannya juga dijangka mengeluarkan garis panduan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak akan berulang.

Jenazah Noriah tiba pada pukul 11.40 malam dengan pesawat Charlie C130H melalui penerbangan ihsan dari Pangkalan Udara Kuching, Sarawak yang berlepas kira-kira pukul 9.15 malam.

Allahyarham merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Jumaat.

Jasadnya ditemukan di kawasan pencarian awal helikopter terbabit di Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau, tengah hari Jumaat.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu. - BERNAMA

helikopter, SOP, Ab Aziz Kaprawi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain