suria

Helikopter Hilang: DCA Tidak Terima Panggilan Kecemasan

Muhammad Sabtu Osman.

KUCHING: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak menerima panggilan kecemasan daripada helikopter yang membawa kenamaan termasuk seorang timbalan menteri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, berdasarkan maklumat daripada DCA, pesawat itu hilang daripada radar pada pukul 4.32 petang di kawasan Triso, Sri Aman.

"Banyak berita mengatakan pesawat itu dah jumpa dan diviralkan namun tiada pengesahan.

"Namun sehingga kini DCA sahkan tidak ada kesan mendarat di mana-mana daerah di Sarawak.

"Jangan viral dan kata dah jumpa sebab setakat ini DCA tak kesan apa-apa landing point,” katanya pada sidang media di sini, Khamis malam.

Sehubungan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan semua jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan.

Menurut beliau buat masa ini SAR akan memberi tumpuan di kawasan Triso, Sri Aman.

Bagaimanapun pada sidang media itu Muhammad Sabtu tidak memberi apa-apa pengesahan mengenai maklumat penumpang.

Enam individu termasuk seorang timbalan menteri dan Ahli Parlimen dipercayai berada dalam helikopter yang dilaporkan hilang di Sarawak.

Mereka yang dikatakan berada dalam helikopter itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah.

Turut sama ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Tiga yang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi kepada Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang RP-C 6828 Kapten Rudolf Rex Ragas.


Artikel Lain