suria

1MDB: Najib Dibenar Padam Dua Perenggan Afidavit Sokongan Pua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memadamkan dua perenggan dalam afidavit sokongan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dalam saman berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati dua perenggan terbabit dan eksibit yang disertakan bersama dalam afidavit sokongan Pua, gagal mematuhi Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.  

Roslan berkata perenggan dan eksibit itu tidak menyatakan dari mana dan daripada siapa sumber itu diperoleh serta mengapa Pua bergantung kepada sumber berkenaan.

"Oleh itu, mahkamah mendapati dua perenggan serta eksibit itu adalah 'hearsay' (dengar cakap) dan dikeluarkan daripada afidavit sokongan defendan pertama (Pua)," katanya.

Dua perenggan dalam afidavit sokongan itu membabitkan hasil carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai laman web rasmi 1MDB dan artikel berkaitan isu 1MDB yang diterbitkan dalam blog, surat khabar dan portal online.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan difailkan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, selaku defendan kedua dalam kes saman itu.

Roslan ketika membuat keputusan itu berkata kenyataan yang dikatakan fitnah yang dimuat naik oleh Chan dalam laman YouTube Media rakyat dan laman web Mediarakyat bukan berdasarkan fakta tetapi komen berpatutan.

Mahkamah juga menetapkan 30 Mei ini untuk mendengar permohonan Pua bagi membatalkan saman Najib.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lepas dengan menamakan Pua, 43, dan Chan, 52, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif berkata pada 13 November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiridan/atau ejennya dalam laman You Tube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Menurutnya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali sebagai' perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah diseluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Najib diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala peguam Gobind Singh Deo mewakili Pua, yang turut hadir pada prosiding hari ini dan peguam N. Surendran bertindak bagi pihak Chan. -Bernama

Artikel Lain