suria

PRN Sarawak: Hanya Bumiputera Boleh Jadi Ketua Menteri - Hadi Awang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUCHING: PAS tidak akan membenarkan golongan bukan bumiputera, khususnya daripada DAP untuk memerintah Sarawak, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS berkata, walaupun kerajaan negeri boleh mempunyai pemimpin daripada pelbagai latar belakang kaum, ia perlu diperintah oleh pemimpin Islam dan bumiputera untuk memastikan kepimpinannya hanya mengikut prinsip-prinsip Islam.

"Orang Cina, India dan kaum-kaum lain juga adalah pemimpin-pemimpin kita, tetapi mereka perlu dipimpin oleh seorang Muslim.

"Sebab itu PAS mahu Sarawak ditadbir oleh bumiputera Islam, bukan kaum-kaum lain," katanya kepada beratus-ratus penyokong di sini, malam Rabu.

Hadi juga berkata, tidak seperti parti-parti pembangkang yang lain, keputusan PAS untuk bertanding 11 kerusi dalam pilihan raya menunjukkan bahawa parti itu tidak berniat untuk memerintah Sarawak.

"Kami hanya ingin menjadi penasihat kepada kerajaan yang memerintah," katanya.

Hadi berkata walaupun PAS memenangi kesemua 11 kerusi yang ditandinginya, ia tidak akan dapat membentuk kerajaan majoriti kerana terdapat 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Tetapi mereka (parti pembangkang) bertanding di kerusi lain yang tinggal," katanya.

DAP bertanding 31 kerusi pada pilihan raya negeri, PKR 40 kerusi dan Amanah 13 kerusi.

Walau bagaimanapun, DAP dan PKR akan bertemu sesama sendiri di enam kawasan pilihan raya.

Barisan Nasional telah memenangi dua kerusi tanpa bertanding.

Artikel Sebelum

Artikel Lain