suria

MKD Terima Peletakan Jawatan Lembaga Pengarah 1MDB

KUALA LUMPUR: Pihak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sudah menerima peletakan jawatan ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkuatkuasa 31 Mei, 2016, kecuali Presidennya Arul Kanda yang kekal menyandang jawatan itu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Kewangan berkata keputusan itu selaras perubahan tadbir urus serta pemindahan aset kepada MKD.

"Pelantikan ahli baharu lembaga itu akan dibuat kemudian bagi memaparkan profil pengehadan perniagaan syarikat milik kerajaan itu," kata kenyataan berkenaan.

Pada 7 April lepas, pihak lembaga pengarah 1MDB secara kolektif telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada MKD, berikutan hasil Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Selain itu, menurut kenyataan kementerian, Arul Kanda akan memegang jawatannya sebagai Presiden sehingga ke satu notis yang akan dimaklumkan kelak.

"Beliau akan terus memberi tumpuan terhadap mandat khususnya bagi pelaksanaan pelan rasionalisasi yang turut melibatkan usaha penyelesaian pertikaian kontrak dengan pihak International Petroleum Investment Corp yang berpejabat di Abu Dhabi, baru-baru ini," katanya.

MKD yang juga pemegang saham 100 peratus dalam 1MDB, juga sudah bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya cadangan yang disenaraikan dalam Laporan PAC selepas melakukan kajian menyeluruh mengenainya.

Antara cadangan laporan terperinci PAC itu adalah pemindahan pemilikan tanah di Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, Air Itam land dan Pulau Indah kepada pihak MKD; pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB; pemansuhan Artikel 117 dan mengubah semua rujukan "Perdana Menteri" kepada "Menteri Kewangan" dalam Memorandum Artikel Syarikat 1MDB. - BERNAMA

1MDB, MKD, peletakan jawatan

Artikel Sebelum

Artikel Lain