suria

Pemilik Rayani Air Tawar Jawatan CEO Kepada Pekerja

(gambar kiri) Ravi Alagendrran dan (gambar kanan) Zulkalnain Azdan.

PETALING JAYA: Selepas pekerja Rayani Air mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ravi Alagendrran, pemilik syarikat itu tampil menawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang disandangnya kepada salah seorang kakitangan bagi mengambil alih pengurusan operasi penerbangan patuh syariah itu.

Tawaran itu dibuat kepada Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan yang mendakwa mewakili sejumlah kakitangan syarikat ketika membuat bantahan terhadap Ravi pada Jumaat lalu.

Malah Ravi turut sedia melepaskan pegangan saham kepada pelabur baharu sebagaimana yang didesak Zulkalnain bagi membolehkan Rayani Air menyambung semula operasinya.

Jelas Ravi, keputusan tersebut dibuat selepas kakitangannya mengumumkan bahawa beliau tidak layak menguruskan syarikat penerbangan itu.

“Oleh itu, saya dengan rendah diri sedia melepaskan jawatan saya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air kepada Zulkalnain sekiranya dia bersama kakitangan dapat menguruskan syarikat ini.

“Saya juga sedia melepaskan 100 peratus pegangan saham. Bukan antara 70 hingga 80 peratus seperti yang mereka minta, atau 51 peratus mengikut rancangan asal saya tetapi 100 peratus kepada pelabur yang sedang berunding dengan pihak Zulkalnain.

“Biarlah pelabur baharu ambil alih, dan biarlah Zulkalnain jadi CEO bagi menerajui Rayani Air dengan cara yang lebih baik daripada saya,” katanya kepada mStar Online

Jumaat lalu, kakitangan dari bahagian operasi dan kejuruteraan Rayani Air itu memberitahu bahawa mereka sedang dalam perbincangan dengan beberapa pelabur untuk membeli majoriti saham dalam syarikat berkenaan daripada Ravi, dengan mengatakan bahawa mereka tidak mahu beliau menerajui syarikat itu lagi.

Ravi bagaimanapun berkata, Zulkalnain perlu memenuhi ‘tiga syarat’ untuk membolehkan beliau melepaskan jawatan CEO dan 100 peratus pegangan saham.

“Tiga syarat ini ialah pertama, pelabur yang diuruskan Zulkalnain perlu memenuhi sejumlah dana yang dipersetujui saya bagi menyelamatkan Rayani Air.

“Kedua, pelabur itu perlu menguruskan segala liabiliti termasuk melunaskan tunggakan gaji pekerja, dan ketiga, semua kakitangan Rayani Air pada masa ini perlu diambil sebagai pekerja bagi meneruskan operasi syarikat penerbangan ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau tidak layak kerana tiada pengalaman dalam bidang penerbangan, Ravi berkata, beliau berpengalaman sebagai ahli perniagaan dan bidang itu memerlukan masa untuk berada pada landasan yang kukuh.

"Walaupun saya ada pengalaman dalam perniagaan, tetapi saya mula dari bawah untuk menubuhkan Rayani Air. Begitu juga dengan Zulkalnain, dia juga bermula dari bawah sebelum memegang jawatan sekarang.

"Kita sama-sama bermula dari 'zero', dan cuba sedaya-upaya untuk memastikan Rayani Air terus beroperasi meskipun berdepan dengan kesukaran ketika ini," katanya sambil merujuk mengenai usahanya ketika ini sedang berunding dengan beberapa pelabur untuk mendapat suntikan dana buat syarikat penerbangan itu.

Selain mengenai pengurusan dan pelabur, Zulkalnain yang mendakwa mewakili kakitangan Rayani Air turut memberi tempoh sehingga Selasa ini kepada Ravi untuk melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangan syarikat penerbangan itu untuk Mac berjumlah RM1.5 juta.

Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu merupakan syarikat penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh syariah.

Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain