suria

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bakal Bawa Impak Besar - PM

Lebuhraya Pan Borneo.

PAPAR: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan membawa impak yang besar kepada bumi Sabah dan rakyatnya termasuk dari segi pembangunan sosioekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun banyak projek telah dilaksanakan di negeri ini namun jika dibuat perbandingan tidak dinafikan apabila projek lebuh raya itu siap kelak, ia bakal menjadi projek yang membawa kesan dan impak paling besar di negeri ini.

Katanya ini kerana impak pembangunan yang bakal dibawa Lebuhraya Pan Borneo Sabah kelak bersifat lonjakan berganda serta berterusan, tidak seperti projek biasa yang lain.

"Ya, kita telah buat banyak projek di Sabah. Kita telah buat Sipitang Oil  and  Gas Industrial Park (SOGIP), Sabah Oil  and  Gas Terminal (SOGT), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC), kita wujudkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kita bina jalan raya luar bandar, laksanakan projek bekalan elektrik, air, projek perumahan rakyat dan pelbagai lagi sejak Sabah bersama membentuk Malaysia.

"Tapi kalau kita nilai dalam banyak projek tersebut, dalam membuat perbandingan mana satu projek yang bawa impak paling besar, saya berani kata bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo untuk Sabah merupakan projek yang paling besar kesan dan impaknya kepada bumi Sabah," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus, Papar yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri persekutuan dan negeri Sabah.

Najib berkata pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janjinya dalam manifesto pilihan raya umum 2013 bahawa dalam tempoh lima tahun projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah akan dilaksanakan.

"Janji BN pasti kita tunaikan kerana BN bukan parti yang mengamalkan politik melahirkan rasa benci, bukan parti adu domba rakyat, bukan parti yang mengelirukan perasaan dan pemikiran rakyat. Itu adalah parti pembangkang.

"BN adalah sebuah parti yang punya visi masa depan.

BN adalah sebuah parti yang mempunyai pelan pembangunan sosio ekonomi mentransformasikan bumi Malaysia ini," katanya.

Perdana Menteri berkata BN ialah sebuah parti yang mampu melaksanakan projek pembangunan demi faedah rakyat.- BERNAMA

Pan Borneo, Sabah, Najib Tun Razak

Artikel Lain