suria

Hilang Kepercayaan, Bekas Setiausaha DAP Sarikei Tanding Tiket Bebas

Wong Ching King.

SARIKEI: Akibat kecewa tidak dicalonkan dalam dua pilihan raya negeri lepas, bekas setiausaha DAP Sarikei mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

Wong Ching King, 50, yang keluar daripada parti itu awal bulan ini, mengesahkan akan bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN), 7 Mei ini.

Bekas pendidik itu berkata, beliau tidak puas hati dengan tindakan parti mengetepikannya sebagai calon buat kali ketiga berturut-turut.

Beliau mendakwa beliau sepatutnya menjadi calon untuk kerusi DUN Meradong pada PRN-10 pada April 2011.

Malangnya DAP mengekalkan penyandang kerusi itu, Ting Tze Fui sebagai calon di saat akhir pada PRN 2011, katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Wong berkata, pada pilihan raya kali ini, harapannya untuk menjadi calon DAP tidak kesampaian apabila namanya tidak disenaraikan untuk bertanding di DUN Repok.

"Saya sudah menyertai DAP begitu lama, daripada ahli biasa kemudian sebagai penolong setiausaha sehingga memegang jawatan setiausaha. Saya berkhidmat sepenuh masa untuk parti dan rakyat dengan penuh komitmen serta ikhlas.

"Tetapi saat-saat akhir muncul seorang wanita sebagai calon DAP di  Repok. Ini sebab saya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti peringkat negeri dan cawangan,"  katanya.

Dua hari lepas, DAP menamakan peguam muda, Yong Siew Wei untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi menggantikan penyandangnya, Dr Wong Hua Seh, yang tidak dicalonkan semula kerana faktor kesihatan.

Wong, yang lebih mesra dipanggil Cikgu Wong mendakwa DAP membuat pemilihan calon bagi kawasan Repok ini secara tidak telus dan tidak mengambil kira senario terkini politik setempat, malah tidak langsung berbincang dengannya mengenai perkara tersebut.

"Ini yang saya tak dapat terima, sebab kalau ikut padangan orang awam setempat memang saya merupakan calon paling layak," dakwanya.

Ditanya apakah persiapan dilakukan bagi menghadapi pilihan raya nanti, Wong berkata, sejak 2011 lagi beliau sudah bergerak di peringkat akar umbi di kawasan Repok dan sekarang sudah bersiap sedia.

Beliau yakin mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya sebagai calon Bebas kerana mendapat sokongan menggalakkan daripada pengundi di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, perjuangan beliau adalah untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan akan memberikan perkhidmatan dengan penuh komitmen serta ikhlas demi pembangunan rakyat di kawasan Repok.

Dengan pengumuman Wong itu, Repok dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Wong, Yong dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Huang Tiong Sii, seorang ahli perniagaan. - Bernama

Wong Ching King, DAP

Artikel Lain