suria

Hannah Yeoh Dihalang Masuk Sarawak

Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya Hannah Yeoh (DAP) adalah ahli politik pembangkang terbaharu yang dihalang daripada memasuki Sarawak.

Speaker DUN Selangor itu berkata beliau telah mendarat di Sibu di mana beliau dijadualkan menghadiri satu majlis gereja.

"Terpaksa membayar RM1,013 untuk terbang kembali ke KLIA. Tiada siapa di sini boleh memberikan penjelasan kepada saya, hanya boleh kata ‘I’m sorry Puan kita hanya ikut arahan sahaja’," katanya di Twitter, Jumaat.

Ahli Parlimen PKR Sim Tze Tsin dan Adun Machang Bubuk Lee Khai Loon juga dilarang memasuki Sarawak pada Jumaat.

Tze Tsin berkata mereka tiba di Kuching pada pukul 11.30 pagi dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan seterusnya selepas tidak dibenarkan masuk.

Tze Tsin berkata beliau telah 11 kali masuk ke negeri itu sebelum ini tanpa sebarang isu, dengan lawatan terbaru beliau dibuat dua minggu lalu.

Ahli-ahli politik pembangkang  lain yang telah dihalang daripada memasuki Sarawak termasuk Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Dr Afif Bahardin (PKR).

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Yunos dan penulis blog Papagomo juga telah dihalang masuk ke negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata bahawa mereka yang berada dalam senarai hitam imigresen bebas untuk memasuki Sarawak sebaik selesai pilihan raya negeri.

Artikel Lain