suria

Pekebun Getah Didakwa Rasuah Penguat Kuasa Perhilitan

Shahrulnizam (kiri) bersama peguamnya ketika di Mahkamah Sesyen Kuantan kerana dituduh melibatkan rasuah sebanyak RM3,000, Khamis.

PETALING JAYA: Seorang pengusaha kebun getah didakwa kerana memberi suapan sebanyak RM3,000 kepada penguat kuasa Jabatan Perhilitan Taman Negara Pahang tahun lalu.

Tertuduh Shahrulnizam Lazim, 26, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk melepaskan empat pekerja warga Kemboja di bawah seliaannya yang telah ditahan kerana menceroboh kawasan Taman Negara Pahang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 19 November 2015 kira-kira pukul 12 tengah hari di hadapan Restoran Shaeera, Bangunan Mara, Taman Wawasan, Jerantut.

Shahrulnizam dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin.

Kes akan disebut semula pada 24 Mei 2016.




Perhilitan, Pahang, Taman Negara, getah

Artikel Lain