suria

Bantuan Pekerja Asing Diperlukan Segera

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Pemilik kilang, Datuk Syed Mohammed Izhaar Mohammed Sebirm memerlukan 125 pekerja asing untuk memenuhi permintaan kilang tekstilnya, tetapi setakat ini beliau hanya berjaya mendapatkan 20 pekerja.

Dengan jumlah pekerja sekecil itu, beliau tidak mampu menjalankan proses pengeluaran sepenuh masa, menyebabkan mesin-mesinnya terbiar dalam tempoh tertentu.

Ahli perniagaan yang berpangkalan di Rawang itu kini tidak boleh tidur lena, gara-gara bimbang tentang kerugian besar yang bakal dialaminya jika kilangnya terus beroperasi dengan hanya kira-kira 15 peratus daripada tenaga kerja yang diperlukan.

Syarikat milik Syed Mohammad Izhaar adalah salah sebuah daripada banyak syarikat lain yang menghadapi masalah kekurangan pekerja berikutan larangan menyeluruh pengambilan pekerja asing baharu yang diumumkan oleh kerajaan dua bulan lalu.

Majikan dan peserta industri merayu kepada kerajaan untuk segera menimbang semula keputusannya, dengan alasan pembekuan itu telah melumpuhkan perniagaan mereka.

Satu kajian oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan bahawa 84 peratus daripada pengusaha berdepan masalah kekurangan tenaga kerja, dengan separuh daripada mereka melaporkan bahawa mereka tidak dapat memenuhi pesanan sedia ada.

"Keadaan ini, jika dibiarkan berterusan, akan memberi kesan kepada ekonomi kita yang sudah berada di bawah tekanan hebat akibat pengurangan permintaan domestik dan global.

"Oleh itu, kami meminta kerajaan untuk mengkaji semula dasar semasa bagi membantu pengeluar tempatan kita," kata FMM dalam satu kenyataan, Selasa.

FMM berkata kos juga meningkat bagi pengeluar kerana terpaksa membayar pekerja bekerja lebih masa atau mencari sumber lain untuk bahagian operasi mereka.

Daripada kaji selidik tersebut, persekutuan itu berkata 146 syarikat menunjukkan bahawa mereka memerlukan seramai 13,270 pekerja baharu tahun ini bagi memenuhi keperluan perniagaan mereka dan menggantikan pekerja tidak layak atau yang telah pulang ke negara mereka.

Syarikat-syarikat itu menyatakan mereka berdepan kesusahan ini kerana pekerja tempatan tidak mampu untuk memenuhi permintaan industri, sekali gus menyebabkan mereka perlu terus bergantung dengan pekerja asing.

"Walaupun beberapa syarikat masih mampu untuk membawa masuk sebahagian daripada keperluan mereka dengan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mereka yang sudah mempunyai visa atau visa telah dikeluarkan untuk pekerja baharu sebelum pembekuan, lebih daripada separuh syarikat lagi tiada pilihan untuk membawa masuk pekerja baharu.

"Mereka yang mempunyai memo daftar keluar bagi membawa pulang pekerja juga tidak mampu untuk menggantikan pekerja-pekerja dalam tempoh ini," kata FMM.

Persekutuan itu juga berkata kebanyakan pengeluar tidak dapat menggunakan program penggajian semula pekerja asing KDN kerana mereka tidak mempunyai pekerja haram dalam menggaji pekerja.

Menurut FMM, kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa hanya 35 peratus daripada responden melihat automasi sebagai penyelesaian kepada masalah tenaga kerja.

Penggantungan terhadap pengambilan pekerja asing baharu telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada bulan Februari.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata banyak industri telah mengalami pengurangan tenaga kerja yang teruk dan merayu kepada kerajaan untuk mengkaji semula pembekuan pekerja asing baharu.

Dr Wee berkata, beliau telah mengumpul maklumat daripada pelbagai kumpulan, termasuk pembuat perabot dan orang-orang dalam industri berorientasikan eksport, yang sangat memerlukan pekerja.

Beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

pekerja asing, FMM

Artikel Lain