suria

Gempa: Dua Rakyat Malaysia Di Ecuador Dilaporkan Selamat

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia bekerja di Ecuador yang dilanda gempa bumi Sabtu lepas, dilaporkan selamat, kata Kedutaan Malaysia di Chile.

Kedutaan itu mengesahkan Foo Boon Kiat dan Andrew Teoh Teck Keong, yang bekerja dengan Huawei Technologies Company Ltd, sebuah syarikat telekomunikasi multinasional China di Quito sejak setahun lepas, berada dalam keadaan selamat.

"Kedua-dua mereka selamat dan berada dalam keadaan baik. Kami berhubung dengan seorang daripada mereka semalam," kata kedutaan itu Isnin.

Kedutaan Malaysia di Chile juga ditauliahkan ke Ecuador. Kedutaan itu akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.


Rakyat Malaysia yang mempunyai saudara mara sedang melawat atau menetap di Ecuador, boleh menghubungi Pegawai Bertugas kedutaan itu melalui talian +56966657242.

Gempa bumi itu berlaku pada 6.58 petang waktu tempatan Sabtu lepas, dengan pusat gempa dikesan pada kedalaman 10 kilometer di barat laut pantai Ecuador.

Ecuador mengisytiharkan darurat di enam wilayah dan mengerahkan kira-kira 14,000 anggota tentera serta pasukan keselamatan ke kawasan terjejas.

BBC News hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 272 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 1,500 cedera akibat bencana alam itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain