suria

Penuntut Utem Peluk Islam Pada Ceramah Zakir

MELAKA: Penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Senkiran Dharma menjadi penganut bukan Islam yang keenam memeluk agama Islam pada ceramah pendakwah antarabangsa terkenal Dr Zakir Naik.

Penuntut jurusan kejuruteraan telekomunikasi elektronik berumur 24 tahun itu mengucapkan dua kalimah syahadah dengan dibimbing Dr Zakir, pada siri ceramah ilmuan Islam itu di universiti itu Ahad malam.

Dharma membuat keputusan untuk memeluk Islam selepas bertanyakan kepada Dr Zakir tentang konsep syurga dan neraka bagi orang Islam dan bukan Islam.

"Ya, saya sudah menunggu untuk melakukan ini selama ini," katanya ketika ditanya oleh Dr Zakir berhubung keputusannya untuk memeluk Islam.

Dharma berkata beliau telah melakukan kajian tentang Islam sejak tiga tahun lepas dan mempunyai kembar yang telahpun memeluk Islam.

Lebih 20,000 orang menghadiri ceramah Dr Zakir bertajuk 'Islam - Problems and Solutions to Humanity' (Islam - Masalah dan Penyelesaian kepada Kemanusiaan).

Mereka termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dan kalangan Exco negeri Melaka.

Pendakwah dari India itu sedang dalam siri menyampaikan ceramah dan syarahan di seluruh negara dan telah menarik kehadiran ribuan orang.

Beliau telah mengadakan empat ceramah di Terengganu dan satu di Kuala Lumpur sebelum ke negeri ini.

Dr Zakir Naik, Utem, Islam

Artikel Lain