suria

Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjut Hingga 3 Mei

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan dalam tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) yang berakhir pada Ahad (17 April) dilanjutkan sehingga 3 Mei, berkuatkuasa mulai 18 April, dari pukul 7 malam hingga 5 pagi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun.

Abdul Rashid berkata, perintah berkurung berkenaan membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. 

"Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu malam.

Beliau berkata, langkah meneruskan perintah berkurung berkenaan adalah bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh oleh pengganas yang boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa serta pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di kawasan berkenaan.

Abdul Rashid berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan dari selatan Filipina yang menjalankan aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan serta kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan Esszone untuk melakukan jenayah rentas sempadan yang lain.

Katanya, selain untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah, perintah berkurung berkenaan juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas pergerakan serta menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pengusaha chalet dan nelayan melalui kehadiran anggota keselamatan.

Menurutnya, pihaknya juga telah menurunkan kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan perintah berkurung berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan serta laluan yang mendesak. - Bernama

Esszone

Artikel Lain