suria

1MDB: Pua Hanya Bergantung Kepada Bukti 'Dengar Cakap' - Peguam Najib

Tony Pua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee hanya bergantung kepada bukti dengar cakap dalam afidavitnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhujah bahawa bukti itu terkandung dalam dua perenggan afidavit sokongan Pua membabitkan hasil carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai laman web rasmi 1MDB dan artikel berkaitan isu 1MDB yang diterbitkan dalam blog, surat khabar dan portal online.

Mohd Hafarizam berkata bukti yang dikemukakan Pua adalah bukti dengar cakap sehinggalah pegawai bertanggungjawab daripada SSM dipanggil untuk mengemukakan afidavit sokongan bagi mengesahkan perkara berkenaan.

"Jika ada afidavit sokongan daripada pegawai SSM itu, barulah defendan (Pua) boleh membuktikan maklumat yang diperolehinya," hujah peguam itu dalam permohonan Najib untuk memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit sokongan yang diikrarkan Pua pada 7 Mei 2015 dalam saman difailkan perdana menteri itu.

Mohd Hafarizam berkata wartawan portal dan blogger yang menulis artikel mengenai isu 1MDB juga perlu mengemukakan afidavit sokongan bagi mengesahkan pembuktian maklumat yang diperoleh.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua pula berhujah kes saman itu berkaitan isu 1MDB dan hasil carian oleh SSM berhubung isu berkenaan adalah relevan dan tidak boleh dipertikaikan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar menetapkan 5 Mei untuk keputusan permohonan Najib itu dan tarikh sama untuk mendengar permohonan Pua bagi membatalkan saman Najib.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lepas dengan menamakan Pua, 43, dan Chan, 52, pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif berkata pada 13 November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Katanya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya dan individu dikenali sebagai 'perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Tony Pua, Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Lain