suria

Kemasukan Pengganas: Malaysia Dalam Keadaan Berjaga-Jaga

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan maklumat dari Thailand bahawa dua rakyat Turki berketurunan Uighur yang disyaki merancang serangan pengganas di Thailand sedang menuju ke Malaysia.
 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis dan agensi-agensi lain di semua pintu masuk dan keluar dari negara ini telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.


"Kita sedang memantau keadaan," katanya, Sabtu.

Gabenor Surat Thani, Wongsiri Promchana berkata beliau dimaklumkan tentang dua lelaki itu yang menuju ke Malaysia oleh Pejabat Imigresen Phuket.

"Bagaimanapun, ini hanya maklumat awal daripada Pejabat Imigresen yang percaya nama itu (lelaki Uighur) sama dengan yang terdapat dalam memo (perisikan)," katanya dalam wawancara melalui telefon dari Surat Thani dengan Bernama pada Sabtu. 

Wongsiri tidak mendedahkan tarikh sebenar kedua-dua lelaki Uighur itu meninggalkan Thailand untuk ke Malaysia dan sama ada mereka menggunakan jalan darat atau udara.

Sumber perisikan memberitahu Bernama bahawa dua lelaki itu mungkin menuju ke Malaysia dalam perjalanan ke Turki, Indonesia atau Singapura.

Pada Jumaat, akhbar Thai Khaosod membocorkan memorandum perisikan daripada Wongsiri yang mendakwa dua lelaki etnik Uighur dan dua rakyat Rusia berketurunan Chechen telah merancang serangan pengganas di Thailand.

Kedua-dua lelaki etnik Uighur itu telah dikenal pasti sebagai Ali Yalcin Egin dan Hidayet Dorsun tiba di Phuket dari lokasi yang tidak dikenal pasti pada 23 Mac.

Mereka mungkin melakukan serangan ke atas kawasan sasaran orang Cina dan mempunyai kepentingan di Asia Tenggara, kata memo yang bocor itu manakala dua lelaki Chechen yang tidak dikenali merancang untuk menyerang kepentingan Rusia di Thailand.

Dalam reaksinya semalam, Ketua Polis Thailand Jen Chakthip Chaijinda mengakui bahawa memo perisikan yang bocor itu adalah tulen dan pasukan penguatkuasa telah bertindak balas terhadap perkara ini sejak minggu lalu.

Gabenor itu berkata beliau mendapat maklumat perisikan sensitif itu daripada Pusat Penyelarasan Perisikan Kebangsaan Wilayah 4 tentang ancaman itu pada 5 April. 

Menurutnya memo perisikan itu mengandungi amaran terperinci tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di destinasi pelancongan popular Koh Samui dan Phuket. 

Dua tempat itu dijangka sesak dengan pelancong asing termasuk dari China dan Rusia selain rakyat tempatan bersempena Festival Songkran selama empat hari, yang bermula secara rasmi pada 12 April ini. 

Disember lepas, agensi perisikan Rusia memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Thailand bahawa sehingga 10 anggota kumpulan militan Daeshwarga Syria telah memasuki Thailand untuk menyerang kepentingan Rusia.

Artikel Lain