suria

Mengapa Saya Letak Jawatan Pengerusi Proton - Tun M

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi Proton dan bukannya dipecat kerana tidak mahu menjadi punca kegagalan syarikat itu untuk kembali pulih.

"Saya tidak dipecat oleh pemilik atau pengurusan Proton. Saya memutuskannya sendiri, demi Proton... saya perlu berundur. Oleh itu, saya tidak menaruh dendam terhadap Proton.

"Saya tidak mahu menjadi punca kegagalan Proton untuk pulih," kata bekas perdana menteri itu menerusi entri terbaharu di blognya, chedet.com.

Dr Mahathir berkata, dasar kerajaan sebelum ini ialah menggalakkan bahan tempatan dan kesemua kereta yang dikeluarkan atau dipasang di Malaysia akan mendapat rebat dari segi duti eksais berdasarkan peratus bahan tempatan yang digunakan.

"Kebanyakan kereta asing dipasang di Malaysia mempunyai 30 hingga  40 peratus bahan tempatan. Proton mempunyai hampir 90 peratus bahan tempatan. Oleh itu, rebat untuk Proton adalah lebih tinggi. Ia bukan satu keistimewaan untuk Proton sahaja.

"Semua kereta tempatan dan asing berpeluang mendapatkan manfaat itu," katanya.

Dr Mahathir berkata, Proton menyumbangkan lebih banyak dana kepada kerajaan berbanding syarikat itu mendapatkan dana daripada kerajaan.

"Kerajaan dakwa menyediakan geran, pelbagai jenis bantuan termasuk pengecualian cukai bagi mengambil kira-kira RM13.9 bilion secara keseluruhan. Kebanyakannya daripada pengecualian cukai," katanya.

Beliau menambah, Proton menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 12,000 pekerja pada satu-satu masa secara langsung, dan lebih 250,000 lagi secara tidak langsung.

"Proton mengurangkan aliran keluar dana mungkin sehingga lebih RM100 bilion," katanya.

Tambahnya, Proton terpaksa bersaing di tempat sendiri dengan Toyota, pengeluar kereta Korea Selatan, pengeluar kereta Jerman dan lain-lain.

Beliau berkata, syarikat-syarikat ini mampu untuk kehilangan pasaran di Malaysia dan memulihkannya di pasaran lain.

"Hari ini kerajaan tidak mempunyai kebanggaan terhadap produk negara. Import lebih murah dan terdapat lebih ramai pengguna berbanding pengeluar. Dalam demokrasi, bilangan diambil kira," katanya.

Dr Mahathir Mohamad, Proton

Artikel Lain