suria

Kerajaan Pertimbang Guna Aplikasi Jejak Jemaah Haji Sesat

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendengar penerangan mengenai aplikasi mudah alih Haji dan Umrah yang disampaikan Ketua Projek Aplikasi Mudah Alih Haji dan Umrah Prof Madya Muhammad Rafie Mohd Arshad (kanan) selepas perasmian Persidangan Serantau Haji (RCHAJJ) 2016, Rabu. Turut hadir Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Omar Osman (tiga, kanan) dan Pengerusi Program Penyelidikan Haji Prof Dr Ahamad Tajudin Khader (dua, kanan).

GEORGE TOWN: Kerajaan sedang mempertimbang mengguna aplikasi Sistem Penjejak Lokasi Jemaah Tersesat SMS/GPS di Tanah Suci.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata aplikasi yang berasaskan sistem pengoperasian Android itu dibangunkan sekumpulan penyelidik menerusi geran Kluster Penyelidikan Haji bernilai RM9 juta. 

Aplikasi itu tidak sahaja memudahkan petugas Tabung Haji (TH) mengesan jemaah yang sesat setiap tahun, malah mampu mengintegrasikan maklumat semasa serta menyediakan maklumat persekitaran kepada jemaah, kata beliau. 

"Saya sudah tengok aplikasi itu, ia hanya memerlukan tablet dan telefon pintar serta menggunakan teknologi SMS (khidmat pesanan ringkas) dan GPS (sistem penentu kedudukan global). 

Asyraf Wajdi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Haji Serantau 2016 di sini, Rabu. 

Persidangan dua hari itu bermula hari ini diikuti lebih 100 peserta dari beberapa negara antaranya Arab Saudi, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan Kemboja. 

Asyraf Wajdi berkata pada masa ini, usaha mengesan jemaah yang dilapor hilang dilakukan secara manual iaitu menempatkan petugas di check point untuk kenal pasti bila ada jemaah yang tersesat.

Projek Kluster Penyelidikan Haji itu melibatkan Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Asyraf Wajdi berkata menerusi geran itu, kumpulan penyelidik berkenaan turut membangunkan beberapa aplikasi lain antaranya Aplikasi Mudah Alih Panduan Umrah atau M-Umrah, Jelajah Maya Madinah, Penjejak Lokasi Mekah dan Sistem Penjejak Lokasi Mekah GPS.

"Semua aplikasi itu dibangunkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara percuma serta versi pro yang berbayar termasuk dalam bahasa Indonesia," katanya. 

Sementara itu Ketua Penyelidik yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Prof Madya Muhammad Rafie Mohd Arshad berkata Sistem Penjejak Lokasi Jemaah Tersesat SMS/GPS mula dibangunkan pada tahun 2012 dan pihaknya telah membuat beberapa ujian termasuk menggunakan aplikasi itu di Makkah. 

"Sistem itu juga boleh diguna untuk memantau perjalanan bas ke sesuatu lokasi dan kedudukan bas yang dalam perjalanan dapat disemak statusnya untuk menentukan kemungkinan berlaku kerosakan kenderaan atau sebagainya," katanya. -- Bernama

Artikel Lain