suria

Dewan Makan SMS Tapah Ditutup Sementara Akibat Keracunan Makanan

Seramai 44 orang pelajar asrama dan seorang guru di Sekolah Menengah Sains Tapah mengalami keracunan makanan selepas makan di dewan asrama sekolah, Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan makan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tapah, Perak diarahkan tutup bermula 6 petang Isnin berikutan kes keracunan makanan membabitkan 43 pelajar, Sabtu lepas.

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Kementerian Pendidikan Tinggi berkata penutupan itu adalah sehingga premis berkenaan dibasmi kuman dan serangga.

"Penutupan sementara ini adalah sebagai langkah penjagaan kesihatan murid sehingga siasatan selesai," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin malam.

BPSBPSK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri Perak akan mengadakan pemantauan bagi memastikan sekolah itu mematuhi arahan penutupan itu.

Kenyataan juga itu menyebut sebanyak 762 pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu akan dibekalkan makanan bermasak oleh pengusaha kantin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah buat sementara waktu.

Dalam kejadian itu, 43 pelajar mengalami keracunan makanan selepas menikmati roti jala dan kari ayam di dewan makan asrama sekolah itu.

Sejumlah 33 pelajar, membabitkan 21 lelaki dan 12 perempuan masih ditahan di Hospital Tapah bagi menerima rawatan lanjut. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain