suria

Lapor SPRM Jika Ada Salah Guna Kuasa Penjualan Tanah Perda

Rafizal Abdul Rahim

GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu segera melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika mengesyaki berlaku salah guna kuasa dalam urusan penjualan tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Seberang Perai Selatan dekat sini.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata laporan kepada pihak berkuasa perlu dibuat bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan itu.

"Kalau tengok Twitter Lim sehari dua ini tiada isu lain, isu Perda sahaja, nasihat saya kepada ketua menteri, segera laporkan jika yakin dengan kes ini, tapi persiapkan diri juga untuk hadapi kes berprofil tinggi beliau.

"Tidak ada makna jika beliau (Lim) bercakap kepada media sahaja tanpa membuat tindakan (laporan) SPRM," katanya kepada pemberita ketika menghadiri kelas pertama 'School of Politics' di sini, Sabtu.

Khamis lepas, Lim meminta Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya memberi penjelasan berhubung penjualan tanah awam milik agensi kerajaan persekutuan itu yang didakwa dijual pada kadar harga di bawah nilai pasaran.

Lim dilaporkan berkata, proses penjualan tanah itu dilakukan tahun lepas dengan tarikh penukaran hak milik pada 28 Jun 2015 dengan nilai lebih RM1.4juta, sedangkan mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri, nilai keseluruhan tanah seluas 3.4 hektar itu adalah RM16.6 juta.

Rafizal berkata tindakan Lim membangkitkan isu itu juga dilihat bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada kontroversi tanah Taman Manggis dan pembelian banglo Lim di Jalan Pinhorn di sini.

Beliau berkata Lim juga tiada keperluan menjemput Shabudin, yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor, untuk bersemuka dan mengadakan 'coffee talk' bagi membincangkan isu itu kerana ia tidak akan mendatangkan hasil.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pemuda MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang meminta Lim memberi penjelasan berhubung proses dokumentasi dan perjanjian pembelian banglo di Jalan Pinhorn yang didakwa diuruskan oleh firma guaman isterinya sendiri, Betty Chew.

"Kami tidak pasti sama ada tindakan itu adalah sah di sisi undang-undang, mengikut etika dan profesional. Ia mungkin normal pada orang lain, tapi ini melibatkan ketua menteri," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain