suria

Badan Peguam Tiada Hak Desak Peguam Negara Letak Jawatan - Jalsoa

Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia tidak mempunyai hak untuk megemukakan usul mendesak Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletak jawatan serta-merta, kata Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa).

Sehubungan itu, Jalsoa menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada Rabu meluluskan usul menolak campur tangan dan tekanan badan lain termasuk Badan Peguam Malaysia dalam urusan Peguam Negara melaksanakan kuasa dan budi bicaranya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jalsoa dalam kenyataannya berkata ia berpendirian bahawa semua pihak hendaklah menghormati kedudukan institusi Peguam Negara dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai institusi bebas.

Selain itu, semua pihak harus menghormati peranan institusi Peguam Negara dalam menjunjung keluhuran Perlembagaan, menegakkan keadilan, mendaulatkan undang-undang dan melindungi kepentingan negara.

Pada 19 Mac lepas, tiga peguam - Charles Hector, Francis Pereira dan S.Shanmugam - mengemukakan usul mendesak Mohamed Apandi meletakkan jawatan kerana didakwa tidak berupaya mengendalikan kes berprofil tinggi, pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-70 Badan Peguam Malaysia.-Bernama

Jalsoa, Badan Peguam, Peguam Negara

Artikel Lain