suria

Adun PKR Disiasat Berhubung Kenyataan Papan Tanda #BebasAnwar

Lee Khai Loon.

BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Khai Loon dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Seberang Prai Tengah di Bandar Perda di sini.

Difahamkan, Adun Machang Bubok itu disiasat berhubung kenyataan yang didakwa dilakukannya pada minggu lalu.

"Saya percaya ia disebabkan kenyataan saya yang mengutuk polis kerana menanggalkan tiga papan tanda #BebasAnwar di Selangor pada 22 Mac lalu," kata Khai Loon.

Beliau berkata, terdapat satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kenyataan itu dengan mendakwa beliau menghasut.

Tambah Khai Loon, beliau menerima surat dari ASP Hassan Mohamad Salih dari bahagian siasatan jenayah, yang meminta beliau supaya hadir ke balai polis pada pukul 10 pagi Selasa.

Menurut Khai Loon, beliau dimaklumkan bahawa polis menjalankan siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.



Lee Khai Loon

Artikel Berikut

Artikel Lain