suria

Lelaki Maut, Kereta Dirempuh Bas Kilang Di George Town

GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah bas kilang yang mengalami masalah brek di Jalan Paya Terubong di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kemalangan kira-kira 11 pagi itu, Ong Hat Theng, 58, yang memandu kereta Perodua Alza dirempuh bas itu semasa dalam perjalanan dari Relau menghala Air Itam di sini.

"Bas kilang itu, yang menghala ke Relau, dipercayai hilang kawalan kerana masalah brek sebelum terbabas masuk laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa.

"Pemandu kereta itu cedera parah di kepala dan dada kerana tersepit. Dia dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya di sini.

Beliau berkata pemandu bas berusia 63 tahun itu melarikan diri tetapi dapat diberkas kira-kira 6.30 petang tadi di sini.

Sementara itu, anggota keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lam,42, berkata ketika kejadian Ong dalam perjalanan ke Relau untuk berjumpa rakannya bagi membincangkan urusan perniagaan.

"Sebelum keluar, dia memberitahu isterinya supaya tidak perlu menunggunya pulang makan tengah harim,"katanya ketika ditemui di bilik mayat HPP.

Artikel Lain