Kejar Upah RM500, Rakyat Malaysia Mungkin Meringkuk 50 Tahun Di Penjara Thailand - Semasa | mStar

Kejar Upah RM500, Rakyat Malaysia Mungkin Meringkuk 50 Tahun Di Penjara Thailand

15 rakyat Malaysia yang dibawa ke bangunan Biro Penyiasatan Pusat (CIB) Thailand untuk ditampilkan bersama-sama rampasan dadah itu dalam satu sidang media di Thailand, Khamis.
BANGKOK: Hanya kerana mengejar upah sebanyak RM500 bagi setiap beg berisi 'kopi segera' dan 'biskut' yang dibawa, ramai rakyat Malaysia yang menjadi 'keldai dadah' di sempadan Malaysia-Thailand tidak menyedari realiti yang bakal dialami mereka - meringkuk dalam penjara di sebuah negara asing.

Tempoh penjara bagi pesalah dadah di negara ini ialah antara 40 hingga 50 tahun dan itulah nasib yang mungkin dialami 15 rakyat Malaysia yang diberkas polis Thailand dalam operasi membanteras dadah dua hari lepas.

Mereka ditahan polis Thailand bersama-sama 226 kilogram dadah sintetik jenis 'Ice' dan lapan kilogram Heroin yang dibungkus menyerupai kopi segera dan biskut.

"Saya tidak tahu tentang kandungan sebenar beg itu, saya hanya mengambil upah RM500 bagi setiap beg (berisi 'kopi' dan 'biskut) yang saya angkat," kata seorang daripada rakyat Malaysia terbabit kepada penyiasat tempatan, Khamis.

Sebelum itu, dia dan 14 rakyat Malaysia yang lain dibawa ke bangunan Biro Penyiasatan Pusat (CIB) Thailand untuk ditampilkan bersama-sama rampasan dadah itu dalam satu sidang media.

Semasa ditemui Bernama, penyiasat tempatan itu berkata adalah amat sukar baginya untuk mempercayai alasan rakyat Malaysia terbabit yang mendakwa tidak tahu-menahu tentang kandungan beg yang mereka bawa.

"Mungkin ia hanya alasan tetapi apa pun mereka kini berdepan kemungkinan menghabiskan sisa-sisa hidup dalam penjara," katanya.

Menurutnya adalah amat malang sekali jika alasan yang diberikan rakyat Malaysia itu sememangnya benar.

Beliau menjelaskan bahawa Thailand mempunyai peruntukan hukuman mati tetapi ia jarang digunakan sebaliknya pesalah dadah sering dijatuhi hukuman penjara bagi tempoh panjang.

Kesemua 15 rakyat Malaysia itu ditahan di empat stesen kereta api Ratchaburi, Hua Hin, Prachuabkirikan dan Surat Thani pada Rabu ketika sedang menaiki kereta api Hualamphong-Butterworth.

Bilangan rakyat Malaysia yang terlibat dalam kes rampasan dadah terbesar dalam jangka masa terdekat itu mungkin meningkat kepada 21 orang selepas enam orang lagi ditangkap ketika menaiki sebuah van di Hatyai pada hari yang sama.

"Enam rakyat Malaysia itu akan dibawa ke Bangkok hari ini untuk siasatan lanjut Polis Thailand," kata seorang sumber tempatan.

Polis Lebuhraya Thailand yang memaklumkan kepada Bernama tentang penangkapan enam orang itu, percaya bahawa seorang daripada mereka terbabit dengan kumpulan 15 rakyat Malaysia itu berdasarkan rekod perjalanannya.

Sumber Malaysia turut mengesahkan penahanan enam rakyat Malaysia di Hatyai, dan kini menyiasat dengan lanjut.

Bagaimanapun, penahanan hampir 21 warga Malaysia dengan sejumlah dadah dalam kuantiti yang amat besar memang mengejutkan pasukan polis Thailand dan Malaysia.


"Kita biasa menerima laporan empat, lima rakyat Malaysia ditahan Polis Thailand atas kesalahan dadah...tetapi ini 15 orang dan terdapat kemungkinan bilangannya meningkat kepada 21 orang. Ia sejarah dengan jumlah rampasan yang amat besar," kata sumber.

Disebabkan pembabitan rakyat Malaysia yang ramai dengan jumlah rampasan yang besar, Polis Thailand telah meminta bantuan Bukit Aman untuk menghantar anggotanya ke Thailand bagi membantu siasatan kes itu.

"Dua atau tiga pegawai Bukit Aman akan ke Bangkok dalam jangka masa terdekat untuk membantu Polis Thailand, selepas mendapat kelulusan Ketua Polis Negara," kata sumber itu kepada Bernama.

Sumber itu turut mendedahkan kesemua 15 rakyat Malaysia itu didalangi oleh seorang rakyat negara itu yang dikenali sebagai 'Ngor', yang turut ditangkap Polis Thailand.

Berdasarkan rekod Imigresen Thailand, mereka tiba di negara ini secara berasingan sama ada melalui jalan darat atau udara pada 14, 15 dan 16 Mac sebelum kesemuanya menaiki penerbangan ke Chiangmai.

Bungkusan dadah itu pula dipercayai berpunca dari kawasan Segitiga Emas berhampiran sempadan Myanmar, Thailand dan Laos, yang sememangnya terkenal dengan gelaran 'kilang dadah dunia'.

Menurut sumber itu lagi, empat daripada 15 rakyat Malaysia itu didapati telah beberapa kali memasuki Thailand sebelum ini dengan dua daripadanya sudah lapan kali ke negara ini manakala dua lagi sebanyak empat kali.

Selebihnya pula didapati memasuki Thailand buat pertama kalinya, kata beliau.

Selain itu, pemeriksaan mendapati lapan daripada rakyat Malaysia itu memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

Mengenai destinasi sebenar dadah yang dirampas itu, sumber berkenaan memberitahu perkara itu sedang disiasat pihak berkuasa tetapi tidak menolak kemungkinan Malaysia menjadi negara transit sebelum dadah itu 'dihantar' ke negara lain.

penjara Thailand , dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain