suria

6 Penguatkuasa Direman Terlibat Rasuah Kereta Sapu

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Enam anggota agensi penguatkuasa direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah membabitkan pemandu kereta sapu dan teksi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan pada Rabu berkata, lima yang ditahan dan direman itu ialah pembantu penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sementara seorang lagi ialah anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan menahan reman ke atas kesemua enam penjawat awam itu.

"Mereka ditahan oleh SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan daripada pemandu teksi dan kereta sapu yang mengambil penumpang tanpa kebenaran kuasa yang sah di KLIA dan KLIA2.

"Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Selain itu Majistret Khairul Nizam Abu Bakar turut membenarkan SPRM menahan reman tiga pemandu teksi kerana menawar dan memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa.

Mereka turut direman selama selama enam hari dan disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM menjalankan siasatan susulan maklumat bahawa pemandu-pemandu teksi yang sah tertekan dengan kehadiran teksi sapu yang tidak mempunyai permit mengambil penumpang di kawasan KLIA dan KLIA2.

"Hasil siasatan awal menunjukkan sindiket berkenaan telah membuat bayaran mingguan kepada pegawai penguat kuasa sekitar RM600 hingga RM720 melibatkan lima hingga enam pengusaha teksi," menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Lain