suria

"Saya Tak Tengok Jam Dia" - Khairy

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disyaki menjadi dalang penyelewengan dana kira-kira RM100 juta tidak pernah mempamerkan gaya hidup mewah ketika bertugas.

Malah menterinya, Khairy Jamaluddin menyifatkan penampilan individu berusia 56 tahun itu yang kini ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekadar 'biasa'.

"Secara peribadi saya tak tahu (mengenai dakwaan kehidupan mewah). Saya melihat dia biasa sahaja di pejabat.

"Apa yang dihebahkan dalam laporan media, berkenaan dengan gaya hidup dia...tidak dipamerkan sewaktu kerja," kataya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato' Onn di sini, Selasa.

Ditanya sama ada beliau pernah melihat individu berkenaan memakai aksesosi seperti jam tangan mewah, Khairy berkata: "Di pejabat saya tak perasan, sebab saya tak tengok jam dia."

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di KBS dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2010 itu telah memperdaya kementerian tersebut bagi membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor untuk tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

SPRM turut merampas 12 buah kereta mewah, barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama dan membekukan sejumlah 69 akaun bernilai RM8.33 juta.

Sementara itu diminta mengulas mengenai prestasi pegawai berkenaan ketika berkhidmat, Khairy berkata beliau tidak pernah mencurigai individu terbabit yang bertugas di bahagian tersebut sejak 1998.

"Daripada segi prestasi, dia menjalankan tugas seperti biasa. Tapi saya tak tahu berkenaan kes ini.

"Daripada aspek lain...tak ada apa-apa yang luar biasa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain