suria

Mara Bakal Lupus Hartanah Australia - Annuar

Annuar hadir ke ibu pejabat SPRM pada Jumaat bagi menyerahkan beberapa maklumat terkini bagi membantu siasatan SPRM berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh MARA Inc. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) diarah membuat penilitian serius berhubung langkah melupuskan hartanah kontroversinya di Melbourne, Australia.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata Ahli Lembaga Mara Inc yang baharu bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu bidaan termasuk melantik perunding hartanah terkemuka antarabangsa.

"Kita benarkan Mara Inc untuk membuat penawaran sekiranya ada pembida membeli aset itu. Tapi sekali lagi mereka harus belajar daripada sejarah, bila ada pembelian atau penawaran, ia mesti mengikut peraturan yang ketat.

"Jangan ada lagi hanky-panky business. Arahan kita kepada board ialah mereka mesti lakukan melalui bidaan terbuka. Tak boleh nak runding belakang," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Terdahulu, Annuar hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyerahkan beberapa maklumat terbaharu berhubung siasatan  pembelian hartanah oleh Mara Inc di Australia.

Mengulas lanjut mengenai status hartanah tersebut, Annuar memberitahu pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenai penjualannya walaupun proses bidaan fasa pertama telah tamat.

"Minggu depan saya minta pengurusan Mara Inc memberi taklimat kepada saya tentang kedudukan pelupusan. Hingga kini belum ada sebarang ketetapan.

"Kita dah buka bidaan...dah ditutup untuk pusingan pertama tapi tidak bermakna kita (akan) jual kepada mana-mana pembida sehingga saya berpuas hati angka itu bukan sahaja adil tapi sesuai kepada Mara Inc dan Mara," katanya.

Selain itu katanya, Ahli Lembaga Mara Inc yang diketuai pengerusinya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz turut diarahkan menyelesaikan isu penyusunan semula pinjaman berhubung pembiayaan hartanah tersebut.

Jelasnya pengurusan Mara Inc yang terdahulu membeli hartanah berkenaan secara pinjaman jangka pendek.

"Kita pun tak tahu masa membeli dulu, pengurusan lama meminjam untuk jangka pendek. Ia perlu dibayar dalam masa tiga tahun yang mana ia mustahil nak bayar dalam tempoh itu.

"Sekarang kita terpaksa membuat pengurusan kewangan yang baharu untuk membiayai bangunan itu sebab kita beli tanpa guna duit tunai Mara, kita buat melalui pinjaman.

"Kita tak mahu lihat hutang itu berpanjangan. Pengurusan kewangan yang baharu dibuat dengan bank Malaysia...dulu pinjam daripada bank Australia," katanya.

Isu pembelian hartanah oleh Mara timbul apabila akhbar Australia, The Age, melaporkan "sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya" membayar lebihan A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi membeli sebuah pangsapuri di Melbourne pada 2013.

Mereka termasuk seorang pegawai "atasan" MARA, pegawai kanan dan bekas ahli politik, yang dikatakan menggunakan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit untuk pembelian blok pangsapuri Dudley International House, dengan menawarkan hampir A$5 juta lebih tinggi daripada harga asalnya A$17.8 juta.

Akhbar itu turut mendakwa pemaju bangunan itu di Australia mengeluarkan invois palsu yang membutirkan kononnya perkhidmatan "jururunding dan nasihat" daripada firma Malaysia.

Annuar Musa, Mara, Mara Inc

Artikel Lain