suria

Kadar Levi Baharu Pekerja Asing Berkuat Kuasa Jumaat

PETALING JAYA: Kerajaan menetapkan kadar levi baharu pekerja asing sebanyak RM1,850 bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan, manakala RM650 bagi sektor perladangan dan pertanian, berkuat kuasa pada Jumaat.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, kadar levi itu melibatkan peningkatan sebanyak RM600 bagi sektor perkilangan dan pembinaan serta sektor pertanian dan perladangan, masing-masing RM230 dan RM50.

“Setelah mengambil kira pelbagai faktor, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu bersetuju untuk mengekalkan pengklusteran levi kepada dua kategori iaitu kategori pertama, merangkumi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan, dan kategori kedua iaitu sektor perladangan dan pertanian.

“Kadar levi yang akan dikenakan ialah RM 1,850 bagi kategori pertama dan RM 640 bagi kategori kedua. Kadar baharu ini akan berkuat kuasa pada 18 Mac (Jumaat) dan meliputi Semenanjung Malaysia sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Alwi berkata, kenaikan kadar levi yang berbeza mengikut sektor juga bersesuaian dengan kadar pendapatan atau imbuhan yang ditawarkan melalui pekerjaan di dalam sektor-sektor berkenaan.

“Kadar ini juga diyakini masih kompetitif dan merupakan balasan yang setimpal kerana pekerja asing yang turut menikmati kemudahan dan infrastruktur disediakan oleh kerajaan.

“Kerajaan berpendapat bahawa ini merupakan kadar yang optimum pada masa ini bagi memastikan perkembangan ekonomi tidak terganggu dan objektif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada industri intensif buruh dapat dicapai,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penangguhan kadar levi baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Pada awalnya, kadar baharu levi menerusi penstrukturan semula itu ditetapkan sebanyak RM2,500 bagi kategori pertama dan RM1,500 bagi kategori kedua.

Pengumuman tersebut bagaimanapun tidak disambut baik sehingga mendapat bantahan kebanyakan pihak di kalangan majikan dan industri.

Alwi Ibrahim, levi, pekerja asing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain