suria

Rumah Pen.Pegawai Daerah Hulu Langat Dibaling Molotov Cocktail

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Rumah seorang daripada Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat di Seksyen 14, Bandar Baru, Bangi dekat sini dibaling dengan tiga bom botol atau molotov cocktail, awal hari Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun menyedari kejadian itu semasa keluar daripada rumahnya untuk ke pejabat dan menemui tiga 'molotov cocktail' dengan dua daripadanya berada di tempat letak kereta manakala satu lagi di laman rumahnya. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Abdul Ghani Mohamad Ji berkata duadaripada botol berkenaan telah pecah menyebabkan terdapat kesan kebakaran dilantai tempat letak kereta di rumah mangsa. 

"Selain itu, mangsa turut menemui tujuh peluru 9mm yang diletakkan di dalam plastik tidak jauh daripada keretanya.

"Polis juga menemui kesan kain terbakar di luar laman rumah berhampiran pagar rumah mangsa," katanya kepada Bernama

Abdul Ghani berkata keadaan rumah mangsa berkunci sepanjang malam dan tidak mempunyai sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Tiada saksi awam yang menyedari kejadian itu. Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, sehingga kini polis tidak menemui kesan cap jari di lokasi kejadian. 

Abdul Ghani berkata kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat mengikut Sek 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Bernama

molotov cocktail

Artikel Sebelum

Artikel Lain