suria

SGSP: Lebih Sejuta Pelajar Menabung Pada 2016 - BSN

Ahmad Tajuddin (tengah) dan Abu Bakar (dua, kiri) merasmikan penjenamaan semula produk simpanan BSN Smart Junior (BSJ) yang dahulunya dikenali sebagai Kelab Penabung Muda (KPM) pada majlis Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) BSN di Menara Kuala Lumpur, Khamis. Turut serta Mearia (kiri), Rozainum (dua, kanan) dan Yunos (kanan). Foto LOW LAY PHON / The Star

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menjangkakan lebih sejuta pelajar bakal menabung menerusi Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, jumlah itu berdasarkan sasaran pertambahan seramai 200,000 pelajar baharu menyertai SGSP pada tahun ini, daripada 961,000 pelajar sedia ada sehingga akhir tahun lalu.

"Bagi tahun 2016, kita mensasarkan pertambahan pelajar baharu sebanyak 200,000 orang. Kita sasarkan jumlah simpanan RM200 juta.

“Sasaran ini akan menjadi lebih sejuta pelajar akan menyimpan di BSN sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) di Menara Kuala Lumpur pada Khamis.

Yunos dan Mearia bersama para penerima Anugerah SGSP bagi kategori individu.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Datuk Ahmad Tajuddin Jab dan Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah .

Turut hadir Ketua Jabatan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah.

Ahmad Tajuddin (empat, kanan), Yunos (tiga, kanan) dan Abu Bakar (lima, kiri) bersama para penerima Anugerah SGSP bagi kategori Sekolah.

Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika berucap pada majlis itu berkata, SGSP menerima sambutan penyertaan yang amat memberangsangkan daripada pelajar dan sekolah.

“Sehingga akhir 2015, lebih 961,000 pelajar dan lebih 7,300 sekolah menyertai SGSP. Jumlah simpanan para pelajar dan sekolah ini mencapai sehingga lebih RM581 juta.

“Ini menjadi bukti kejayaan SGSP mencapai sasarannya untuk mempertingkatkan simpanan dan aktiviti di kalangan pelajar,” katanya.

Menurut Abu Bakar, BSN turut menawarkan insentif RM1 juta kepada sekolah-sekolah yang menyertai SGSP dengan syarat kelayakan iaitu penyertaan pelajar terhadap skim berkenaan dan purata simpanan pelajar.

“Semakin banyak penyertaan dan tinggi jumlah simpanan pelajar, semakin tinggi insentif diberikan,” katanya.

Ahmad Tajuddin (empat, kanan), Yunos (tiga, kanan) dan Abu Bakar (tiga, kiri) bersama para penerima Anugerah SGSP bagi kategori tabungan berhemah.

SGSP merupakan skim pertandingan simpanan yang diadakan setiap tahun di mana penyertaannya terbuka kepada para pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pihak sekolah.

Mengenai Anugerah SGSP bagi 2015, seramai 116 pemenang individu dan sekolah menerima hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000. 

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor merangkul Anugerah Khas SGSP tahun 2015 selepas muncul sebagai pemenang terbanyak dengan 17 sekolah daripada semua kategori dipertandingkan. 

Sebanyak tiga kategori utama iaitu individu, sekolah dan tabungan berhemah.

Majlis turut menyaksikan perasmian penjenamaan semula produk simpanan BSN Smart Junior (BSJ) yang dahulunya dikenali sebagai Kelab Penabung Muda (KPM). Ia merupakan kelab simpanan untuk pelajar seawal usia tujuh sehingga 21 tahun.

BSN, SGSP

Artikel Sebelum

Artikel Lain