suria

Perhimpunan 27 Mac Tidak Mewakili Suara Majoriti - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Peserta perhimpunan 27 Mac mungkin boleh menjerit sekuat-kuatnya tetapi mereka tidak mewakili suara majoriti, kata  Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perhimpunan membantah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya merupakan satu lagi usaha sia-sia yang tidak akan berjaya.

"Banyak perhimpunan yang telah diadakan, banyak ramalan dibuat terutama tahun lepas berkaitan pihak yang mengemukakan undi tidak percaya, bajet tidak diluluskan, pemimpin dunia tidak datang ke Malaysia, perhimpunan agung Umno tahun lepas akan kacau-bilau tetapi ia tidak berlaku.

"Jadi, satu lagi perhimpunan dirancang. Saya rasa kita hanya perlu menghadapinya tetapi akhirnya orang ramai yang akan menentukannya bukan orang-orang ini yang menjerit dengan sekuat-kuatnya," kata beliau pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah antara mereka yang mengesahkan akan menghadiri perhimpunan itu yang dicadangkan oleh bekas menteri di jabatan perdana menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata kerajaan tidak akan menyekat perhimpunan 27 Mac nanti asalkan perhimpunan itu tidak akan mendatangkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Kita juga tidak mahu menyekat mana-mana pihak tetapi pihak-pihak tertentu itu kenalah bertanggungjawab supaya apa yang mereka buat itu tidak akhirnya menjadi satu usaha politik yang menyusahkan ramai orang.

Nur Jazlan berkata pihak polis akan memantau keadaan sepanjang perhimpunan itu berlangsung dan tindakan akan diambil jika perlu.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain