suria

Kru Kapal Kontena Cedera Dihempap Besi

KEMAMAN: Seorang jurutera elektrikal warga Serbia cedera di bahagian tangan selepas dihempap besi ketika melaksanakan kerja-kerja membaik pulih enjin kapal kontena Zim Antwerp, Selasa malam.

Mangsa yang dikenali sebagai Babic Dijan turut mengalami beberapa kecederaan pada bahagian jari kedua-dua belah tangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata ketika kejadian kapal yang didaftarkan di Liberia itu bersama 24 orang kru dalam perjalanan dari Singapura ke Bangkok.

Katanya ketika berada pada kedudukan kira-kira 40 batu nautika dari barat daya Kemaman kapten kapal berkenaan telah membuat panggilan kecemasan serta memaklumkan kecederaan yang dialami seorang anak kapalnya dan memohon bantuan agar mangsa dihantar ke hospital.

"Sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 10 malam tadi kami terus menghantar KM Rentap dari Daerah Maritim 8 untuk melakukan misi menyelamat dan kira-kira pukul 2.15 pagi berjaya mengesan kapal berkenaan.

"Mangsa yang cedera terus dibawa ke jeti pangkalan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) Kemaman dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, mangsa kini dilaporkan stabil manakala kapal kontena berkenaan meneruskan perjalanan ke Bangkok.

Artikel Lain