suria

Dulu Rimas, Kini Rela Ditegur Papa - Chef Riz #APO2016

Chef Riz

PETALING JAYA: Statusnya sebagai anak kepada Datuk Redzuawan Ismail bukan jalan mudah untuk menceburi kerjaya dalam bidang kulinari kerana realitinya Chef Riz tidak pernah terlepas daripada dikritik personaliti yang lebih dikenali ramai dengan nama Chef Wan itu.

Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, 33, berkata bapanya begitu mementingkan kesempurnaan, justeru sedikit kesilapan yang dilakukannya di dapur akan mengundang teguran dan kritikan.

"Papa seorang yang perfectionist dan cerewet. Kalau di dapur, sekali pandang saja dia dah tahu salah saya. Memang susah nak bagi papa puas hati.

"Merajuk, terasa hati dengan tegurannya itu dah jadi perkara biasa bagi saya," katanya kepada mStar Online.

Selepas meneruskan cita-cita untuk bergelar Chef, kini beliau masih berkecimpung dalam bidang itu dengan mengusahakan restoran.

Nyata usahanya berbaloi apabila Chef Riz tersenarai dalam pencalonan awal kategori Chef Selebriti Pilihan Online menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016). Tambah menarik lagi apabila Chef Wan turut dicalonkan bersama barisan chef selebriti tanahair yang lain.

Bagaimanapun, kata Chef Riz, situasi yang dilaluinya sekarang berbeza di mana beliau sememangnya memerlukan komen dan teguran daripada bapanya.

Malah, jika ada masalah atau perkara penting, Chef Wan adalah orang pertama yang akan dirujuk.

"Kalau dulu masa muda-muda memang saya rimas bila ditegur, tapi sekarang sebaliknya.

"Sekarang saya lagi suka kalau papa bagi teguran, beliau jadi mentor saya. Saya masih muda dan perlukan nasihat daripada orang berpengalaman sepertinya," katanya.

Mengenai bapa sendiri yang menjadi pesaingnya dalam APO 2016, bapa kepada Putri Arianna Natasya yang berusia 10 bulan ini berkata, beliau menganggap Chef Wan sebagai 'chef legenda' dan sukar ditandingi.

Bagaimanapun, Chef Riz sedar bahawa keputusan dan penentuan mengenai senarai calon terletak di tangan pengundi.

"Saya cakap macam ini bukan kerana beliau bapa saya. Kalau Chef Wan bukan bapa saya pun saya tetap menghormatinya dan anggap beliau sebagai ikon chef dengan ilmu dan pengalamannya.

"Kalau nak dibandingkan dengannya, memang saya dan chef-chef lain masih jauh di belakangnya. Apa-apa pun saya serahkan kepada pengundi," katanya.

Mengenai perkembangan tentang dirinya, Chef Riz berkata, beliau kini lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarganya selain menguruskan perniagaan jualan langsung (MLM) dan restorannya, Flavours Kitchen di Dataran Jelatik Setiawangsa.

Katanya, beliau juga menjadi mentor untuk program yang membantu golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan.

APO2016 ketika ini melalui peringkat pencalonan awal. Orang ramai boleh membuat pencalonan menerusi laman web http://apo.mstar.com.my

Acara ini dijayakan dengan kerjasama Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April depan.

Artikel Lain