suria

Amar Singh Dilantik Ketua Polis KL

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh (kanan) yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru, dengan Datuk Tajuddin Md Isa yang akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada majlis serah-terima tugas, Isnin.

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh, dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa Isnin.

Beliau yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner baru-baru ini menggantikan Datuk Tajuddin Md Isa yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

"Perlantikan ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada kaum minoriti di Malaysia khususnya kaum Sikh yang kurang daripada 0.16 peratus dalam Polis Diraja Malaysia.

"Malah ia menunjukkkan pucuk pimpinan PDRM adalah 'buta warna' semasa pemilihan kenaikan pangkat dan juga semasa menjalankan tugas," katanya dalam ucapan sempena majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Selepas tamat latihan asas Kadet Asisten Superintenden pada tahun 1983, Amar Singh, 58, dihantar bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Ipoh sebelum ditukarkan ke Johor Baharu dan Klang, Selangor.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Amar Singh memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya (UM),  Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Buckingham serta Sijil Amalan Guaman daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

Beliau juga memperoleh Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah dari UM dan Diploma Amalan Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa.

Kuala Lumpur, Polis

Artikel Lain