suria

Tingkatkan Keupayaan, Kebolehan Perangi Rasuah - SPRM

Mohamad Jamidan Abdullah.

KUALA LUMPUR: Faktor paling penting dalam usaha memerangi rasuah ialah meningkatkan keupayaan dan kebolehan, bukan sahaja dalam kalangan pegawai agensi pencegahan rasuah, tetapi juga dari organisasi awam dan swasta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohamad Jamidan Abdullah berkata memerangi rasuah kini menjadi semakin penting bagi semua pihak kerana kemenangan dalam perjuangan ini akan menjamin kelangsungan hidup sesebuah negara berdaulat.

"Sistem yang korup akan membawa kepada keputusan yang korup juga dan seterusnya membawa kepada berlakunya bencana ekonomi, pengaliran keluar modal secara besar-besaran serta kegagalan besar dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan.

"Pelabur antarabangsa tidak akan sekali-kali memandang remeh tentang rasuah atau menerima rasuah sebagai sebahagian daripada kos untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Mohamad Jamidan berkata demikian pada majlis penutupan program tiga hala Malaysia-Jepun bagi Palestin, latihan pencegahan rasuah bagi perwakilan  Palestin mengenai siasatan kewangan dan pencegahan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini Jumaat.

Hadir sama Pengarah MACA, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz dan Duta Besar Palestin di Malaysia, Datuk Dr Anwar Al Agha.

Program anjuran bersama MACA dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) ini diadakan dari 29 Februari hingga 11 Mac.

Mohamad Jamidan berkata Malaysia tidak pernah lari daripada tanggungjawab antarabangsanya dalam peperangan global terhadap rasuah dan penubuhan MACA bukan semata-mata untuk memberi latihan secara dalaman kepada agensi pencegahan rasuah dan agensi kerajaan lain, tetapi juga untuk memainkan peranan lebih aktif di peringkat global bagi membina keupayan dan kebolehan dalam bidang pencegahan rasuah.

"Visi kami ialah menjadikan MACA sebuah pusat pembelajaran dan penyelidikan mengenai pencegahan rasuah terkemuka bagi membasmi rasuah di rantau Asia Pasifik.

"Melalui MACA, kami berharap dapat melahirkan pegawai pencegahan rasuah yang yang cukup terlatih serta melengkapkan diri mereka dengan sikap yang betul, kemahiran dan pengetahuan," katanya.

Beliau berkata akademi itu juga berharap dapat memberi latihan kepada para pegawai pencegahan rasuah sebagai sebahagian daripada sumbangannya kepada inisiatif pencegahan rasuah antarabangsa lain. - BERNAMA

SPRM, Mohamad Jamidan Abdullah

Artikel Lain