suria

Universiti Ada Hak Tamatkan Kontrak Profesor - Idris Jusoh

KUALA LUMPUR: Universiti Awam (UA), termasuk Universiti Malaya (UM) mempunyai hak untuk menamatkan kontrak mana-mana profesor yang dilantik bergantung kepada keperluan institusi berkenaan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

"Pelantikan dan penamatan kontrak profesor adalah hak universiti masing-masing, saya yakin universiti ini mempunyai alasan menamatkan kontrak profesor berkenaan," katanya di Dewan Rakyat, Rabu. 

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai isu penamatan perkhidmatan 156 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di universiti-universiti awam, termasuk Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, yang dilaporkan tidak akan dilanjutkan perkhidmatan mereka susulan kekangan bajet. 

Idris berkata rasional pengecilan bajet itu adakah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 bagi memastikan universiti-universiti awam tidak terlalu bergantung kepada sumber kewangan kerajaan.

Bagaimanapun menurut Idris, UM dilihat sebagai sebuah universiti yang tidak mempunyai sebarang masalah dalam merancang dana mereka.

Terdahulu, menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai status pelaksanaan 'Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)' yang dilaksanakan di universiti-universiti terpilih negara, Idris berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan program itu tahun ini. 

Katanya program itu akan dilaksana dengan perluasan kategori penyertaan kepada para CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai tinggi kerajaan.

"Diharapkan kelangsungan program ini akan membantu KPT terus mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang semakin cemerlang," katanya. 

Beliau berkata program itu menerima respons yang baik daripada warga pendidikan tinggi dunia dalam satu persidangan Asia Pasifik mengenai pendidikan tinggi di Melbourne awal Mac lalu, sekaligus menunjukkan ia mula mendapat perhatian antarabangsa.

Program Fakulti CEO dilancarkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 tahun lalu dengan sasaran untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang serta membina jalinan hubungan kerjasama antara universiti dan industri.

Program ini melibatkan golongan CEO tempatan berkongsi pengalaman mereka bersama pelajar di dewan kuliah sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar dengan golongan profesional.

Setakat ini, 24 CEO telah berkongsi pengalaman mereka antaranya CEO Ambank Group, Tan Sri Azman Hashim, CEO CIMB Malaysia Datuk Tengku Zafrul Azizi  dan Presiden B.Braun Kawasan Asia Pasifik, Anna Maria Braun.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain