suria

MH370: Laporan Interim Fokus Lapan Bidang Perkara

PETALING JAYA: Pasukan Penyiasat Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao) Annex 13 Malaysia untuk pesawat MH370 sedang memuktamadkan analisis, kesimpulan dan cadangan keselamatan kepada industri penerbangan.

Ketua Penyiasatnya, Datuk Kok Soo Chon berkata analisis berkaitan kehilangan pesawat malang itu adalah berdasarkan maklumat sedia ada yang tertumpu kepada lapan bidang perkara.

Katanya, ia merangkumi lencongan dari laluan rancangan penerbangan yang difailkan, operasi perkhidmatan trafik udara; profil anak-anak kapal; kelayakan terbang & penyelenggaraan dan sistem pesawat serta komunikasi satelit.

Beliau berkata ia turut mengambil kira maklumat serpihan dan impak (berikutan pemulihan dan pengesahan flaperon daripada pesawat); organisasi dan pengurusan maklumat Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan MAS; serta konsainan kargo.

Kenyataan interim sepanjang tiga muka surat itu dibacakan Kok dan disiarkan secara langsung menerusi stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1 pada petang Selasa.

"Penyata interim ini disediakan sementara menunggu laporan akhir disiapkan sekiranya bangkai pesawat dijumpai atau jika misi pencarian pesawat ditamatkan yang mana lebih awal," katanya.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 dilaporkan hilang daripada radar menara kawalan selepas 40 minit berada di udara.

Pada 29 Januari tahun lalu, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan perkiraan data satelit Inmarsat, sekali gus mengorbankan 239 penumpang, termasuk 12 kru penerbangan.

Sementara itu, Soo Chon turut mengesahkan bahawa tiada sebarang penemuan bangkai mahupun serpihan pesawat MH370 ditemukan meskipun misi pencarian masih berterusan di Selatan Lautan Hindi.

Namun, katanya, sebuah flaperon telah ditemui di Pulau Réunion pada 29 Julai 2015 dan telah disahkan milik sebahagian daripada pesawat MH370.

"Sebarang maklumat baru yang mungkin diperolehi sebelum Laporan Akhir dimuktamadkan mungkin akan mengubah analisis, dapatan/kesimpulan dan cadangan keselamatan tersebut," katanya.

MH370, MAS, penyata interim

Artikel Sebelum

Artikel Lain