suria

Keupayaan Kamera Pengawasan Hidupan Liar Dipertingkat

Wan Junaidi melihat harimau yang telah diawet melalui kaedah Taksidermi semasa melawat pameran pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di Paya Indah Wetlands pada Selasa. - fotoBERNAMA

SEPANG: Keupayaan ketersambungan dan isyarat kamera pengawasan hidupan liar di Taman Negara akan dipertingkatkan untuk aktiviti pemantauan dan pemuliharaan hidupan liar yang lebih berkesan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata terdapat kira-kira 300 kamera pengawasan beroperasi di beberapa lokasi strategik di Taman Negara ketika ini, namun dalam situasi tertentu kamera berkenaan gagal memberikan isyarat seperti yang diharapkan.

“Isyarat daripada kamera tersebut dihubungkan terus kepada telefon pintar anggota penguat kuasa, tetapi seringkali masalah ketersambungan menjejaskan usaha pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Paya Indah Wetlands Dengkil dekat sini Selasa.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi mencari kaedah meningkatkan ketersambungan kamera berkenaan.

“Jika tidak diatasi masalah ketersambungan ini akan menjejaskan sebarang aktiviti pemuliharaan, pemantauan dan kaji selidik terhadap hidupan liar yang sedang dilakukan,” katanya.

Wan Junaidi berkata peningkatan kapasiti dari aspek sambungan kamera itu juga memberi faedah besar kepada usaha memulihara 300 ekor harimau spesies Malayan Tiger yang dilihat semakin terancam, khususnya daripada aktiviti hutan dan pemburuan haram.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata Perhilitan merekodkan 4,040 kes jenayah hidupan liar merangkumi pemburuan haram, penyeludupan, pelesenan, pencerobohan, kezaliman terhadap hidupan liar dan milikan tidak sah bagi tempoh 2011 hingga tahun lepas.

Bagi kes jenayah hidupan liar di bawah kategori penjualan hidupan liar dalam talian pula, sebanyak 40 kes direkodkan sejak 2013 hingga Februari lalu, katanya.

Pada majlis itu, Wan Junaidi turut melancarkan buku mewah Malayan Tiger: An Iconic National Treasure, sebuah terbitan memaparkan visual harimau belang yang diambil menggunakan perangkap kamera dan visual di Taman Negara, di Sungkai, Perak. - BERNAMA

Artikel Lain