suria

Bekas Pengurus Kanan Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Buat Tuntutan Palsu

Foo mengelak wajahnya daripada dirakam oleh jurugambar.

JOHOR BARU: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa terhadap 115 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM101.64 juta bagi pembelian produk resin plastik, antara Disember 2014 dan Mei tahun lepas.

Foo Tseh Wan, 39, yang ketika itu bertugas di syarikat Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd, di sini, didakwa mengemukakan dokumen iaitu pesanan pembelian mengandungi butir-butir matan palsu dengan niat hendak memperdaya Timbalan Pengurus Besar Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd, Eiichi Hasegawa.

Mengikut kertas pertuduhan, Foo mengemukakan 115 pesanan pembelian terhadap tiga syarikat pembekal untuk syarikat terbabit membekalkan produk resin plastik keseluruhannya bernilai RM101.64 juta, yang terdapat kelulusan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd, Johor Liason Office di ruangan 'Authorized Signatory' pesanan pembelian itu sedangkan sebenarnya kelulusan itu tidak diberikan oleh Hasegawa.

Tiga syarikat itu adalah Mepcom Polymer Sdn Bhd, JB Advance Plastic Marketing Sdn Bhd dan Sors Polymer Sdn Bhd dengan Foo mengemukakan pesanan pembelian kepada tiga syarikat terbabit, menerusi dua eksekutif jualan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd.

Foo didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 20.01 A, Tingkat 20 Menara MAA, Jalan Datuk Abdullah Tahir, di sini, antara 19 Dis 2014 dan 7 Mei tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Fazlin Hamdan yang mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM1.15 juta terhadap tertuduh iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Mohd Fauzi Zain yang mewakili peguam V.Rajadevan, bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM200,000, dengan seorang penjamin atau dua penjamin sekiranya mahkamah menetapkan jumlah tinggi.

Ia dengan alasan Foo baharu sahaja bercerai dengan isterinya, diperintah membayar nafkah berjumlah RM1.5 juta kepada tiga anaknya, tidak mempunyai pekerjaan tetap ketika ini, selain memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan kes berkenaan.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz kemudian membenarkan jaminan berjumlah RM400,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 15 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain