suria

Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya: BN Perlu Sokongan Pembangkang - SPR

PUTRAJAYA: Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di seluruh negara untuk menambah bilangan kerusi parlimen yang akan mula dilakukan tahun ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ini bermakna bagi memperolehi majoriti dua pertiga, Barisan Nasional (BN) memerlukan sekurang-kurangnya 14 undi pembangkang untuk menjadikan jumlah sokongan sebanyak 148 kerusi bagi meluluskan usul menambah bilangan kawasan Parlimen yang baru.

Ketika ini, BN memiliki 134 kerusi di Parlimen manakala pembangkang menguasai 87 kerusi manakala satu kerusi Bebas.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi keseluruhannya.

Berdasarkan situasi politik semasa, BN yang tidak memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen berhadapan laluan sukar untuk memastikan usul persempadanan semula kawasan Parlimen diluluskan di Dewan Rakyat, apabila ia dibentangkan pada penggal ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, proses mewartakan dokumen persempadanan semula kawasan Parlimen tidak akan berlaku jika wakil rakyat pembangkang enggan menyokong usul berkenaan.

“Pembangkang kena setuju dan parti pemerintah juga perlu menyokong sepenuhnya. Kalau tak ada (majoriti dua pertiga), tak akan berlaku perubahan (kawasan) Parlimen,” katanya ketika sesi temubual bersama mStar Online.

Menjelaskan lanjut mengenai proses pengundian di Dewan Rakyat, Mohd Hashim berkata, situasinya berbeza jika usul yang dibentangkan itu membabitkan persempadanan peringkat negeri.

“Kalau (usul persempadanan) Dewan Undangan Negeri (DUN) dibawa ke Dewan Rakyat, memadai dengan majoriti mudah dan ia tak perlu dibawa ke Dewan Negara,” katanya sambil memberi contoh mengenai usul persempadanan kawasan DUN Sarawak yang diluluskan tanpa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu.

SPR sepatutunya melakukan kajian persempadanan semula pada 2011 namun ditangguhkan sehingga bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 2013.

Berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat dan dalam kes ini adalah pada 2003.

Untuk rekod, BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen sejak pilihan raya umum 2008.

Mengulas mengenai kajian pesempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah dan semenanjung, Mohd Hashim berkata, proses itu akan mengambil tempat sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tempohnya bakal berakhir pada Jun depan.

Katanya lagi, SPR meletakkan sasaran untuk menyelesaikan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya baru sebelum PRU-14 yang dijadual diadakan pada 2018.

“Kita akan mulakan di Sabah tahun ini. Kalau tak ada banyak bantahan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, cepatlah prosesnya.

“Sebab itu kita jangka di semenanjung pun kita akan mula tahun ini, tapi berapa lama proses ini akan berakhir kita tidak dapat pastikan. Harap-harap boleh guna pada PRU-14.

“Apa yang kita harapkan ialah semua parti akan sokong, menjadi realiti atau tidak itu soal lain,” tambah beliau.

Bagaimanapun menurut Mohd Hashim, beliau menyedari hakikat bahawa proses persempadanan semula akan mengambil masa kerana pihaknya perlu mengambil kira beberapa kriteria tertentu termasuklah keadaan geografi dan pembangunan semasa di lokasi terbabit.

“Kita tak boleh nak buat garisan guna pembaris macam atas kertas nak potong sana sini kerana takut nanti terpotong antara dapur dan bilik tidur.

“Kena ambil kira juga keadaan geografi dan suku kaum. Kita tak boleh pisahkan kaum-kaum tertentu di lokasi sedia ada. Sampai ke tahap itu kita kena ambil kira,” katanya.

SPR, Sarawak

Artikel Lain