suria

Dua Anggota Polis Cedera Diserang Dengan Pemutar Skru

- Gambar hiasan
SHAH ALAM: Dua anggota polis cedera ringan apabila diserang menggunakan pemutar skru oleh seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah di sebuah restoran di Seksyen 7 di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, pihaknya menerima laporan daripada orang awam bahawa terdapat seorang pembantu restoran cedera akibat diserang dalam satu pergaduhan.

"Setibanya dua anggota polis itu di lokasi, mereka telah dimaklumkan bahawa pembantu restoran warga Thailand itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam sementara suspek berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bertindak menguncikan diri di dalam sebuah bilik di tingkat atas restoran berkenaan.

"Ketika dua anggota kami mengarahkan suspek untuk membuka pintu, suspek tiba-tiba meluru keluar dan menyerang kedua-dua anggota kami menggunakan pemutar skru," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Menurut Shafien, Koperal Reyme Anuar, 48, mengalami kecederaan di kening dan rusuk kiri sementara Lans Koperal Syamsul Nurhisyam Yaakup, 37, luka di rusuk kiri dan dahi kiri.

Kedua-dua anggota polis berkenaan menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan mereka telah dibenarkan pulang, katanya.

Tambah beliau, suspek berjaya ditahan dengan pertolongan orang awam dan ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.

"Siasatan awal mendapati kejadian bermula daripada pergaduhan antara suspek dan pembantu restoran terbabit atas perkara peribadi. Suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun sama," katanya.

polis diserang, pemutar skru

Artikel Berikut

Artikel Lain