suria

Mahkamah Tolak Saman 8 Institut Memandu Terhadap Bekas Pengarah JPJ

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak saman yang dikemukakan lapan institut memandu terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Solah Mat Hassan dan empat yang lain berhubung program Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), yang didakwa menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu selepas mendapati lapan institut memandu itu, selaku plaintif, gagal membuktikan wujudnya konspirasi antara kesemua defendan dalam program BL1M, yang didakwa menyebabkan kerugian kepada plaintif.

Lapan institusi memandu berkenaan ialah MSDC Sdn Bhd, Akademi Memandu Ngah Sdn Bhd, Institut Memandu IKMP (Perlis) Sdn Bhd, Jimat Canggih Sdn Bhd, Express Track Sdn Bhd, Akademi Memandu Mega Sdn Bhd, Akademi Memandu Anda Sdn Bhd dan Gabungan Sekolah Memandu (Hilir Perak) Sdn Bhd.

Selain Solah, turut dinamakan defendan dalam kes saman itu adalah Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO (SHEB) Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, syarikat My E.G. Services Berhad, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan dan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos berjumlah RM60,000 kepada kesemua defendan.

Dalam penghakimannya, Yeoh berkata terdapat perjanjian tidak rasmi, persefahaman atau pengaturan oleh Ketua Pengarah JPJ ketika itu, Solah dan JPJ dengan Tengku Azman, SHEB serta My E.G Services untuk melaksanakan dan menguruskan program BL1M.

"Tiada tujuan atau hasrat bersama untuk menjejaskan plaintif atau menyebabkan mereka kerugian dari segi ekonomi, dan plaintif gagal membuktikan kerugian kewangan dan ekonomi mereka.

"Malah, saksi plaintif bukanlah individu yang mempunyai pengetahuan tentang kaedah pengiraan," katanya sambil memberitahu tiada dokumen sokongan dikemukakan bagi menunjukkan bagaimana pengiraan itu dilakukan.

Yeoh berkata mahkamah juga mendapati kesemua plaintif gagal membuktikan bahawa Solah dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan melanggar tugas dan kewajipan statutori mereka sebagai ketua pengarah.

Selain itu, katanya berkata mahkamah mendapati Solah dan JPJ tidak mengamalkan sebarang diskriminasi terhadap kesemua plaintif.

Sementara itu, mahkamah turut menolak tuntutan balas berhubung salah guna proses mahkamah yang dikemukakan My E.G Services selaku defendan ketiga dalam kes saman itu dan memerintahkan syarikat itu membayar kos RM15,000 kepada lapan institusi memandu berkenaan.

Pada 15 Ogos 2013, sebanyak 10 institut memandu telah memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan berhubung program BL1M yang didakwa menyalahi undang-undang. 

Bagaimanapun, dua daripadanya iaitu Arah Muara Sdn Bhd dan Akademi Memandu Kuala Pilah Sdn Bhd telah memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman itu pada 2014 dan saman itu dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif berkata di bawah program BL1M, calon-calon yang berminat untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2 (lesen B2) hendaklah membayar yuran RM199 kepada My E.G. Services.

Plaintif mendakwa institut memandu yang menerima jumlah calon melebihi 300 orang akan menerima RM130 manakala institut memandu yang menerima jumlah calon kurang daripada 300 orang akan menerima RM150.

Kesemua plaintif mendakwa mereka tidak pernah memberi sebarang persetujuan berhubung penglibatan dalam BL1M dan menyuarakan bantahan terhadap program itu yang didakwa menyebabkan kerugian terhadap mereka.

Plaintif juga mendakwa pihak defendan telah berpakat dengan menyalahi undang-undang dengan tujuan menjejaskan kepentingan ekonomi pihak plaintif.

Justeru itu, pihak plaintif turut memohon perintah injunksi untuk menghalang Tengku Azman dan My E.G. Services daripada melaksanakan program BL1M selain menuntut ganti rugi am, kos dan faedah.-- Bernama
JPJ, BL1M, Yeoh Wee Siam

Artikel Lain